Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Siasatan

Di bawah seksyen 25 Akta 700 Suruhanjaya mempunyai kuasa penyiasatan awal yang akan dijalankan oleh Jawatankuasa Aduan untuk menentukan:

01
jenis salah laku yang diadukan itu; dan
02
sama ada Suruhanjaya patut meneruskan siasatan penuh mengenai aduan itu.

 

Di bawah subseksyen 17 (1) (2) (3) (4) (5) Akta 700 Suruhanjaya mempunyai kuasa penyiasatan SECARA AM seperti berikut:

Pasukan Petugas akan ditubuhkan oleh Suruhanjaya jika perlu bagi membantu Suruhanjaya melaksanakan fungsinya dengan berkesan dan efisien. Anggota pasukan petugas boleh terdiri daripada pegawai Suruhanjaya dan perunding yang diambil khidmat di bawah seksyen 15 Akta 700. Anggota Pasukan Petugas mempunyai semua kuasa penyiasatan yang terkandung dalam Kanun Tatacara Jenayah. Suruhanjaya boleh menubuhkan pasukan petugas bersama pihak berkuasa lain jika perlu.

Di bawah subseksyen 31 (1) Akta 700 Suruhanjaya mempunyai kuasa penyiasatan SECARA SPESIFIK seperti berikut:

01
mengadakan pendengaran jika perlu atau wajar oleh Suruhanjaya untuk berbuat demikian;
02mendapatkan dan menerima semua keterangan, sama ada bertulis atau lisan, dan memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang didapati perlu atau wajar oleh Suruhanjaya untuk didapatkan atau diperiksa;
03menghendaki keterangan mana-mana saksi, sama ada bertulis atau lisan, dibuat atas sumpah atau ikrar (sumpah atau ikrar sedemikian hendaklah seperti sumpah atau ikrar yang boleh dikehendaki daripada saksi itu jika dia memberikan keterangan dalam mahkamah undang-undang) atau melalui akuan berkanun;
04memanggil mana-mana orang yang bermastautin di Malaysia untuk menghadiri mana-mana mesyuarat atau pendengaran Suruhanjaya untuk memberikan keterangan atau mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain dalam milikannya;
05mengeluarkan waran penangkapan untuk memaksa kehadiran mana-mana orang yang, selepas dipanggil untuk hadir, tidak berbuat sedemikian dan tidak memberikan alasan bagi ketidakhadiran itu dengan memuaskan Suruhanjaya, dan memerintahkan orang itu supaya membayar semua kos yang mungkin telah ditanggung semasa memaksa kehadirannya atau oleh sebab keengganannya mematuhi saman itu, dan juga untuk mendenda orang itu suatu jumlah yang tidak melebihi lima ribu ringgit;
06mengenakan denda yang jumlahnya tidak melebihi lima ribu ringgit ke atas mana-mana orang yang, apabila dikehendaki oleh Suruhanjaya untuk memberikan keterangan atas ikrar atau untuk mengemukakan sesuatu dokumen atau benda lain, enggan berbuat sedemikian dan tidak memberikan alasan bagi keengganannya dengan memuaskan Suruhanjaya;
07menerima, walau apa pun apa-apa peruntukan Akta Keterangan 1950 [Akta 56], apa-apa keterangan, sama ada bertulis atau lisan, yang mungkin tidak boleh diterima dalam prosiding sivil atau jenayah;
08mengaward mana-mana orang yang telah menghadiri mana-mana mesyuarat atau pendengaran Suruhanjaya apa-apa jumlah wang yang pada pendapat Suruhanjaya mungkin telah ditanggung oleh orang itu secara munasabah oleh sebab kehadiran sedemikian; dan
09membenarkan atau tidak membenarkan orang ramai untuk menghadiri pendengaran itu atau mana-mana bahagiannya.

 

Walau bagaimanapun di bawah subseksyen 31 (2) menyatakan, bagi perenggan 31(1)(d) jika seseorang yang dipanggil itu orang yang sedang ditahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, saman itu hendaklah dikeluarkan mengikut undang-undang yang terpakai berhubung dengan tempat tahanan itu.

Di bawah seksyen 32 Akta 700, Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mendapatkan dokumen atau benda lain untuk tujuan penyiasatan:

01 Suruhanjaya boleh melalui notis bertulis yang disampaikan kepada seseorang mengkehendaki orang itu:

a. hadir di hadapan Pesuruhjaya atau anggota Pasukan Petugas di tempat dan masa yang dinyatakan dalam
    notis; dan
b. mengemukakan apa-apa dokumen atau keterangan yang dinyatakan dalam notis.

02 Peruntukan boleh dibuat dalam notis bahawa kehendak dalam notis tersebut boleh dipuaskan oleh seseorang lain yang bertindak bagi pihak orang itu:

a. hadir, pada masa dan di tempat yang dinyatakan dalam notis itu di hadapan Pesuruhjaya atau anggota
    Pasukan Petugas sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu; dan

b. mengemukakan apa-apa dokumen atau keterangan, sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu.

03 Seseorang tidak boleh, tanpa alasan yang munasabah, enggan atau tidak mematuhi notis yang disampaikan ke atasnya di bawah seksyen ini
04 Ketidakpatuhan notis tersebut adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Di bawah subseksyen 33(1) Suruhanjaya mempunyai kuasa terhadap orang awam dari segi obligasi memberikan maklumat seperti berikut:

Orang awam (sesiapa sahaja) mempunyai obligasi di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat kepada Suruhanjaya ini dan sesiapa yang melanggar subseksyen ini,  boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah subseksyen 2.

PERKARA-PERKARA LAIN:

Di bawah seksyen 28 Akta 700 Suruhanjaya boleh memulakan penyiasatan atas inisiatif sendiri. 

Suruhanjaya boleh memulakan penyiasatan atas inisiatif sendiri jika Suruhanjaya berpuas hati bahawa perkara itu mempunyai kepentingan yang signifikan kepada orang ramai atau bahawa adalah demi kepentingan awam.

Kuasa penyiasatan Suruhanjaya atas inisiatif sendiri di bawah seksyen ini adalah amat luas dan oleh itu ianya akan dilaksanakan dalam keadaan terkecuali (exceptional) sahaja iaitu dalam kes- kes yang melibatkan kepentingan awam dan mempunyai kepentingan yang signifikan kepada orang ramai.

Dalam kes-kes sedemikian, kuasa ini adalah penting untuk memastikan Suruhanjaya boleh memainkan peranan proaktif untuk menjalankan penyiasatan dan bukan hanya bergantung kepada aduan orang ramai.

Pertanyaan lain berkenaan siasatan? Klik di sini untuk soalan lazim mengenai Siasatan