Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Anggota Polis Rasuah Diburu

31 Jul 2017

 

KLANG: Polis sedang mengesan lagi pembabitan anggotanya dalam kes rasuah bagi melepaskan suspek kes culik seorang pengurus syarikat di Rawang, Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu secara menyeluruh malah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

Katanya, mana-mana anggotanya yang terbabit dalam kes rasuah itu tetap akan dikenakan tindakan tegas.

“Dalam hal ini, polis telus melakukan tindakan walaupun anggota sendiri yang terbabit (rasuah) dan sekarang polis sedang menyiasat tali barut kes ini.

“Tindakan sekeras-kerasnya akan diambil terhadap pegawai yang tidak amanah. Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertoleransi, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Selatan, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, seorang inspektor yang ditangkap Khamis lalu kini ditahan kerja kerana disyaki terbabit menerima rasuah bagi melepaskan seorang suspek kes culik pengurus syarikat di Rawang, Januari lalu.

Inspektor berusia 32 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kini ditahan reman hingga Khamis ini.

Sementara itu, Pegawai Turus Urus setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Klang Selatan baharu menggantikan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

Alzafny dilantik menjadi Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

source :  Orang Muda TV