Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Menteri: Polis didapati bersalah oleh IPCMC ada hak merayu

20 Sep 2019

WAWANCARA | Sejumlah pindaan dan klausa tambahan akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) 2019 sebelum dibaca buat kali kedua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Beliau berkata antaranya yang melibatkan hak anggota polis yang didapati bersalah oleh suruhanjaya itu untuk membuat rayuan.

"Pada masa ini kira-kira lapan pindaan telah dicadangkan dan saya telah beri taklimat kepada semua pemegang taruh.

"Akan ada juga klausa tambahan berkenaan hak untuk merayu kepada mereka yang mungkin dijatuhkan hukuman bawah IPCMC, jadi mereka akan ada hak untuk buat rayuan terhadap keputusan itu," katanya dalam wawancara bersama media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Bacaan pertama RUU itu dibuat pada 18 Julai lalu, dan bacaan kedua dijangka pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Oktober. Liew pernah menyatakan komitmen mengambil kira semua kritikan yang dibangkitkan sebelum itu.

Sebelum ia dibentangkan, iaitu pada Mei lalu, bekas ketua polis negara (IGP) Musa Hassan dilaporkan Free Malaysia Today sebagai menyuarakan kembimbangan anggota polis yang didapati bersalah oleh IPCMC tidak boleh membuat rayuan di mahkamah, yang menurutnya bertentangan dengan "amalan keadilan asas".

'IGP tak terjejas'

Dalam wawancara itu, Liew juga berkata bidang kuasa IGP tidak akan terjejas dengan penubuhan IPCMC kerana ia tertakluk di bawah Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO).

Bagaimanapun IPCMC boleh menyiasat sebarang laporan terhadap IGP sebelum merujuknya kepada pihak yang lebih tinggi untuk sebarang tindakan, katanya.

“Ya, ini berada di bawah undang-undang sedia ada. Kita masih perlu IPCMC menyiasat aduan (dakwaan salah laku) terhadap IGP jika ada.

“Selepas itu aduan itu akan dirujuk kepada ketua setiausaha negara untuk ambil tindakan yang bersesuaian...Ini undang-undang buat masa ini kerana kita perlu pihak yang lebih tinggi daripada IGP untuk melihat syor yang wajar terhadap IGP," katanya lagi.

PCMC pertama kali dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005.

Ia merupakan satu daripada 125 cadangan yang diusulkan suruhanjaya itu selepas kajian selama 15 bulan berkenaan isu melibatkan polis seperti salah laku, hak asasi manusia, jenayah dan rasuah dan kebajikan.

Selepas mendapat bantahan kuat PDRM bawah pimpinan Musa Hassan pada ketika itu, ia digantikan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang hanya boleh menyiasat tetapi tidak boleh mengambil tindakan.

'Bukan bantah tapi tak puas hati istilah salah laku'

Liew berkata polis tidak menyuarakan bantahan terhadap penubuhan suruhanjaya itu tetapi tidak berpuas hati dengan penggunaan istilah 'salah laku' pada namanya yang dilihat negatif.

“Polis memang sokong IPCMC ini tetapi ada yang suarakan rasa tidak puas hati antaranya nama (penggunaan istilah pada suruhanjaya) - 'salah laku'.

“Jadi kita akan lihat bagaimana kita boleh tukar nama itu kepada yang lebih positif agar dapat beri imej yang baik kepada pihak polis," katanya, sambil menambah salah faham lain dapat diselesaikan menerusi sesi taklimat dan konsultasi yang diadakan sebelum wawancara itu.

Ketika diminta mengulas berkenaan taklimat itu, Liew berkata tidak dapat mendedahan butiran lanjut, selain isu kebajikan polis turut dibangkitkan.

Pagi tadi, beliau serta IGP Abdul Hamid Bador turut mengadakan lawatan ke kuarters dan balai polis Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Liew berkata IPCMC akan dianggotai tidak lebih sepuluh anggota dan tiada pegawai polis yang akan dilantik.

Anggota suruhanjaya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam dalam bidang pentadbiran, perundangan yang berkaitan dalam isu-isu polis, katanya.

Apabila ditanya tentang penglibatan IGP, Liew berkata IGP tidak akan terlibat secara langsung tetapi mungkin diperlukan untuk memberikan pandangan.

Sumber : Malaysiakini