Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Tiada tanda didera, tapi polis dituduh cuai dalam kematian Thanabalan

19 Apr 2018

Penyandang Parlimen Kapar, persatuan sivil berkata Thanabalan Subramaniam sepatutnya diberi rawatan perubatan secepat mungkin.

PETALING JAYA: Bedah siasat Thanabalan Subramaniam, yang meninggal dalam tahanan polis, tidak dapat mengesahkan punca kematian tetapi tiada tanda-tanda penderaan fizikal, kata penyandang Parlimen Kapar, G Manivannan.

Manivannan berkata sampel tisu dan darah diambil untuk analisis lanjut bagi menentukan punca kematian.

Awal hari ini, polis Selangor mengesyaki lokap berpusat di mana Thanabalan, 38, ditahan dicemari jangkitan dan akan meminta pemeriksaan di Hospital Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

“Bagaimanapun, saya percaya ada unsur-unsur kecuaian di pihak polis dalam memastikan Thanabalan mendapat perhatian perubatan secepat mungkin,” kata Manivannan kepada FMT.

Semalam, Thanabalan, yang didakwa ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, meninggal dunia di Hospital Shah Alam selepas dikejarkan dari Ibu Pejabat Polis Shah Alam, di mana dia ditahan selama kira-kira 20 hari.

 

Sementara itu, persatuan sivil mempertikaikan kesungguhan polis menghentikan kematian dalam tahanan, susulan kematian Thanabalan.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen tertanya sama ada polis bertindak secepat mungkin untuk merawat Thanabalan sekiranya mendiang tidak sihat.

“Seseorang yang sihat tidak mati tiba-tiba kecuali dia mengalami serangan jantung atau sesuatu yang seserius itu. Jika jangkitan, kesihatannya akan merosot apabila masa berlaku.

“Ada tatacara operasi standard (SOP) tetapi ternyata tidak diikuti kerana jika diikuti Thanabalan akan diberi rawatan perubatan lebih awal.

“Selagi polis tidak mengikuti SOP dan tidak menjawab pada satu suruhanjaya bebas, kematian dalam tahanan akan terus berlaku.”

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata kes ini merupakan kes kematian dalam tahanan kedua tahun ini, dan ketiga bawah Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun.

“Kita tidak nampak iltizam untuk menghentikan kematian dalam tahanan. Kita mahu bertemu polis, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan persatuan sivil lain berkenaan perkara ini.”

Laporan media sebelum ini melaporkan 1,654 orang mati dalam tahanan polis dari 2010 hingga Februari 2017.

Sumber: freemalaysiatoday