Talian Aduan

03 - 8880 5651 / 5625/ 5627

Pesuruhjaya

Keanggotaan

 

Keanggotaan Suruhanjaya adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri. Lantikan ini adalah tidak lebih daripada 7 Pesuruhjaya, yang terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima Pesuruhjaya. Keanggotaan ini adalah bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun dan setiap anggota tidak boleh memegang jawatan melebihi dua tempoh yang berturut-turut selaras dengan seksyen 7(1) Akta 700.

Pada 1 Julai 2020 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah memperkenankan lantikan empat (4) orang Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk tempoh tiga (3) tahun seperti yang berikut:

1. YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan (Pengerusi)

2. YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali (Timbalan Pengerusi)

3. YBhg. Dato’ John Louis O’hara (Pesuruhjaya)

4. YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (Pesuruhjaya)

X YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan

YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan telah diperkenan pelantikan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Terdahulu, beliau merupakan Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) iaitu sebuah syarikat minyak dan gas nasional Malaysia. Jawatan tersebut disandang dari Julai 2012 sehingga Jun 2018.

Sebelum menyertai PETRONAS, YBhg. Tan Sri Sidek Haji Hassan telah berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 38 tahun di mana enam tahun terakhir perkhidmatannya adalah sebagai Ketua Setiausaha Negara sehingga beliau berusia 61 tahun pada 24 Jun 2012.

Memulakan karier dalam Perkhidmatan Awam pada 15 April 1974, YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan telah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan memegang beberapa jawatan tertinggi di Pejabat MITI Tokyo (Jepun), Sydney (Australia) dan Washington D.C (Amerika Syarikat). Beliau turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) pada 19 Januari 2001 dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 24 Oktober 2004.

YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan turut menerajui beberapa institusi termasuk dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2008 hingga 2013 dan kemudiannya telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) pada tahun 2012 hingga 2018.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi di KLCC Property Holdings Berhad, KLCC REIT Management Sdn. Bhd. dan KLCC Holdings Sdn. Bhd. YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan juga telah dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada tahun 2016 sehingga 2018. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Top Glove Corporation Berhad dan Malayan Flour Mill Berhad.

YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan adalah graduan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) (Pentadbiran Awam) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (M.B.A) dari Universiti New Hampshire Selatan, Amerika Syarikat. Pada tahun 2001, beliau juga telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

YBhg. Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Pentadbiran Awam daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Pengurusan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Pengurusan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Perniagaan Antarabangsa daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

YBhg. Tan Sri Sidek Haji Hassan telah dianugerahkan The Distinguished Service Order daripada Kerajaan Singapura pada Jun 2012 atas sumbangan beliau mengeratkan hubungan kerjasama antara Perkhidmatan Awam Malaysia dan Singapura.

Pada Mei 2018, YBhg. Tan Sri Sidek Haji Hassan telah dianugerahkan Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Kerajaan Jepun atas sumbangan beliau mengukuhkan hubungan ekonomi di antara Jepun dan Malaysia.

X YBhg. Tan Sri. Datuk Zainun Ali

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali merupakan seorang graduan Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B.)(Kepujian), Universiti Malaya dan Sarjana Undang–Undang (LL.M.) Universiti Cambridge, United Kingdom.

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali telah menyandang berbagai jawatan dalam bidang perundangan dan kehakiman sepanjang kariernya sejak tahun 1976. Sebelum dilantik menyertai badan kehakiman, beliau telah dilantik sebagai Pendaftar Syarikat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober 1990 dan Ketua Pendaftar di Mahkamah Persekutuan Malaysia pada November 1994 dan Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur pada Ogos 1996. Beliau telah menyumbang kepada bidang kehakiman apabila dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 2012.

YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau merupakan antara salah seorang daripada legal fraternity yang dilantik menyertai arena kehakiman antarabangsa berdasarkan penglibatan aktif dalam memajukan integriti kehakiman seluruh dunia.

Setelah bersara daripada perkhidmatan awam, YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali telah dilantik sebagai Pengerusi, Lembaga Pengarah Malaysia Airports Holdings Berhad pada tahun 2019. Beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad pada tahun yang sama.

Berkuat kuasa 1 Julai 2020, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk tempoh tiga (3) tahun.

X YBhg. Dato’ John Louis O’Hara

YBhg. Dato’ John Louis O’Hara merupakan seorang bekas penuntut Maktab Tentera DiRaja Sungei Besi, graduan Sarjana Muda Undang-Undang (kepujian) daripada King's College University of London (1974) dan Barrister-at-Law dari Lincoln’s Inn, London (1976).

YBhg. Dato John Louis O’Hara mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan dan kehakiman. Beliau memulakan karier profesional sebagai Majistret Mahkamah Kuala Lumpur (1976-1977), Timbalan Pendakwa Raya (negeri dan persekutuan)(1977-1982), Peguam Kanan Persekutuan, Bahagian Penasihat dan Antarabangsa Jabatan Peguam Negara (1982-1988) dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan (1988-1992). Setelah itu, beliau dilantik sebagai Hakim Kanan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu,(1992-1994), Penasihat Undang Undang Kementerian Luar Negeri (1994-1999), Timbalan Ketua Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara (1999) dan Pengerusi Mahkamah Perindustrian, (2000-2001). Beliau juga telah diberikan kepercayaan untuk memimpin sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat, Jabatan Perdana Menteri (2002-2003) serta dilantik menjadi Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa di Jabatan Peguam Negara, (2003-2005), dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2005-2007).

Beliau kemudian meneruskan khidmat dalam profesion kehakiman sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (2007-2010) dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (2011 sehingga beliau bersara pada 2017).

Berkuat kuasa 1 Julai 2020, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan YBhg. Dato’ John Louis O’Hara sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan untuk tempoh tiga (3) tahun.

X YBrs. Profesor. Dr. Nik Ahmad Kamal bin Nik Mahmod

YBrs. Profesor. Dr. Nik Ahmad Kamal bin Nik Mahmod merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (1986) dan Ijazah Sarjana Undang-Undang King’s College, University of London, England (1988), Diploma Syariah Latihan dan Amalan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1991) dan Ijazah Doktor Falsafah, University of Aberdeen, Sotland (1995).

Memulakan karier di UIAM pada tahun 1986, YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod telah berkhidmat sebagai tutor sebelum dilantik sebagai pensyarah pada tahun 1988. Selain berkhidmat sebagai pensyarah, beliau turut memegang beberapa jawatan pentadbiran termasuk dalam pengurusan akademik dan hal-ehwal pelajar. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Fakulti, Dekan Fakulti dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar). Beliau seterusnya dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang, UIAM dari tahun 2012 sehingga tahun 2016. Di samping itu beliau pernah menganggotai beberapa jawatankuasa penting dalam Universiti termasuk Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Peraturan dan Pengawalan Pengurusan, Pengerusi Jawatankuasa Akaun Amanah bagi Akaun Amanah Kakitangan Mungkir Kontrak (T-118-0001), Ahli Jawatankuasa Disiplin (Kakitangan dan Pelajar), Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tadbir Urus Baik, CMI, Ahli Pasukan Teras Perancangan Strategik dan Ahli Jawatankuasa Integriti Akademik Di peringkat kebangsaan beliau pernah menjadi ahli Majlis Dekan-Dekan Undang-undang Malaysia, Majlis Dekan Pasca Siswazah Kebangsaan, Pengerusi Standard Program Kurikulum Undang-undang dan Syariah, Kerangka Kelayakan Malaysia (MQA). Beliau ialah Pemeriksa Luar untuk Program Undang-udang dan Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau juga seorang Pegawai Integrity Bertauliah (CeIO).

Pada 1 Julai 2020, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan YBrs. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod sebagai Pesuruhjaya EAIC untuk untuk tempoh tiga (3) tahun.

X Encik Vinayak Prabhakar Pradhan

Encik Vinayak adalah rakan kongsi firma guaman Skrine dan merupakan seorang ahli Littleton Chambers di London. Beliau merupakan Peguam Cara dan Peguam Bela Mahkamah Tinggi Malaya serta Mahkamah Tinggi Singapura. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan ahli Permanent Court of Arbitration, The Hague, Netherlands.

Encik Vinayak pernah dilantik sebagai Ahli Pasukan Petugas Khas Mengenai Projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada tahun 2009, Pesuruhjaya United Nation Compensation Commission, Geneva, Switzerland dari tahun 1998 hingga tahun 2003, Timbalan Pengerusi International Chamber of Commerce Commission on Arbitration dan Timbalan Presiden Chartered Institute Arbitrators (U.K.) serta Ahli Majlis Penasihat Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur dan Singapore International Arbitration Centre.

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang (LL.B.) daripada University of Singapore pada tahun 1973 dan seorang Penimbangtara Bertauliah dari Chartered Institute of Arbitrators, United Kingdom.

X Dato' Salehuddin Bin Saidin

Dato’ Salehuddin merupakan Peguam Cara dan Peguam Bela Mahkamah Tinggi Malaya serta rakan kongsi pengurusan di firma guaman Salehuddin Saidin & Associates semenjak tahun 2007.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan mengetuai Unit Kes Terkelas dan Kepentingan Awam serta Unit Jenayah Komersial di Jabatan Peguam Negara. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Penasihat Undang-Undang di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Ketua Unit Jenayah Komersial dan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Selangor.

Beliau juga merupakan Perunding Kehormat Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selangor, penasihat undang-undang kepada beberapa NGO serta Ahli Jawatankuasa Yayasan Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor.

X Datuk Paul Low Seng Kuan

Datuk Paul Low Seng Kuan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan pada 1 April 2011.

Kini, Datuk Paul Low merupakan Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (Transparency International) dan Pengarah Urusan / Group Country Manager di Malaysian Sheet Glass Sdn. Bhd. Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Naib Presiden (Independent Non-Executive Director) Sunway Holding Bhd., Ahli Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Ahli Lembaga Pengarah Pos Malaysia Bhd. dan Pengerusi GS1 Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Ahli Majlis Perundingan Ekonomi Negara II (NECC II), Ahli Majlis Pembangunan Perkhidmatan Malaysia. Di samping itu, beliau turut terlibat dalam National Economic Action Council ( NEAC ) dari tahun 1996 hingga 2003, Malaysian Institute of Economic Research (MIER ) dan Comittee on Ethics and Integrity.

Pada 16 Mei 2013 Datuk Paul Low Seng Kuan telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selaras dengan perlantikan tersebut Yang Di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan perletakan jawatan oleh Datuk Paul Low Seng Kuan di bawah seksyen 7 (3) Akta 700 sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya ini.

  • Tan Sri Mohd Sidek Haji Hassan
  • Tan Sri Datuk Zainun Ali
  • Dato’ John Louis O’Hara
  • Profesor. Dr. Nik Ahmad Kamal bin Nik Mahmod