cpi.png

TEMERLOH: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini mempergiatkan usaha memperkukuh penguatkuasaan dan tadbir urus dalam sektor perhutanan negara sebagai langkah strategik memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Asliza Ali, berkata inisiatif ini dilaksanakan melalui lawatan kerja pasukan petugas khas CPI ke Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Pejabat Hutan Daerah Temerloh serta Bera.

Katanya, sesi libat urus itu bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) selepas tamat tempoh lesen pembalakan, selain menilai penggunaan teknologi satelit bagi mengesan perubahan kawasan hutan serta meneliti keberkesanan pemantauan secara praktikal di lapangan.

"Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat dan pemerhati antarabangsa bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan hutan yang baik serta terkawal.

"Selama ini, laporan CPI hanya bergantung kepada sumber dalam talian, sekarang kita turun padang bagi melihat dan menunjukkan sendiri situasi sebenar.

"Isu pembalakan haram sering disalah tafsir dan dibesar-besarkan sesetengah pihak, berdasarkan statistik Jabatan Perhutanan, hanya 32 kes pembalakan haram direkodkan di Semenanjung Malaysia sepanjang 2024 dengan keluasan sekitar 100 hektar iaitu hanya 0.0017 peratus daripada keseluruhan lebih 5.7 juta hektar kawasan berhutan di Semenanjung," katanya.

Puan_SU.png

Asliza berkata, setiap lesen pembalakan dikeluarkan secara sah dan setiap kawasan ditebang akan ditanam semula, malah kitaran penanaman semula ini memasuki fasa kedua sejak pelaksanaannya bermula pada 1960-an.

"Dalam aspek penguatkuasaan, sebanyak 368 tangkapan dilakukan sepanjang tahun ini, merangkumi 299 rakyat tempatan dan 69 warga asing dari negara seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan United Kingdom.

"EAIC diberikan mandat oleh kerajaan untuk mengetuai fokus kumpulan penguatkuasaan dalam pasukan petugas khas CPI yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu," katanya.

Asliza berkata, inisiatif ini sebahagian daripada usaha memperkukuh integriti dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang negara menjelang 2033.

 

SUMBER : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.