cell.png

KUALA LUMPUR: Petugas Khas bagi Pelaksanaan Syor Jawatankuasa Kajian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengemukakan 13 langkah pencegahan dalam menangani isu kematian dalam tahanan.

Draf memorandum yang dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri itu diserahkan susulan penelitian mendalam Pasukan Petugas Khas terhadap syor dalam Laporan Jawatankuasa Kajian EAIC, yang sebelum ini dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) pada 7 Mei 2024.

Menurut memorandum itu, 19 ahli Pasukan Petugas Khas yang mewakili 13 kementerian, jabatan dan agensi termasuk EAIC sudah memberikan ulasan serta maklum balas yang komprehensif dan secara dasarnya menyatakan persetujuan terhadap syor yang dikemukakan dalam laporan berkenaan.

"Tumpuan utama memorandum itu ialah permohonan persetujuan Jemaah Menteri bagi pelaksanaan 13 langkah pencegahan yang dikenal pasti untuk dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam pengendalian tahanan, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Langkah itu bertujuan menambah baik tatakelola lokap, depot imigresen serta pusat tahanan, sekali gus menangani kelemahan sistem yang dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada kematian dalam tahanan.

"Bagaimanapun, semua syor yang dikemukakan melalui memorandum berkenaan akan membabitkan implikasi kewangan dan perundangan yang akan dikaji serta diperhalusi secara berasingan, menjadikan keputusan Jemaah Menteri kelak sebagai penentu utama sama ada 13 langkah pencegahan itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

EAIC berharap, laporan itu bukan sahaja dapat membantu kerajaan dalam menambah baik polisi sedia ada, tetapi turut merumuskan polisi baru yang lebih baik dengan mengenal pasti kelemahan sistem yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan serta meningkatkan kerjasama antara agensi untuk menjaga hak asasi manusia.

"Penyerahan draf Memorandum Jemaah Menteri ini mencerminkan komitmen berterusan EAIC dan semua agensi terbabit dalam memastikan tadbir urus pusat tahanan di Malaysia diperkukuh," katanya.

SUMBER: Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.