RUU pembiayaan politik IPCMC dibentang bulan depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membentangkan dua rang undang-undang baharu berkaitan rasuah pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata antaranya membabitkan rang undang-undang bagi pembiayaan politik.

“Kerajaan juga dijangka membentangkan rang undang-undang berkaitan ombudsmen (Biro Pengaduan Awam) pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“Selain itu, rang undang-undang berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka diluluskan pada sidang sama,” katanya berucap pada Forum Antirasuah dan Integriti 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan usaha kerajaan menggubal undang-undang berkaitan pembiayaan dana parti politik sudah di peringkat akhir dan akan didraf Jabatan Peguam Negara sebelum dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet.

Rang undang-undang itu dikatakan menyentuh pelbagai aspek termasuklah jumlah amaun, proses penerimaan dana dan hukuman, selain sebahagian inisiatif memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Bercakap pada sidang media, Abu Kassim berkata, pihaknya kini sedang menyediakan draf garis panduan berkaitan surat sokongan yang dikeluarkan ahli politik di negara ini.

“Penyediaan garis panduan ini dijangka disiapkan secepat mungkin bagi memastikan pentadbiran dilakukan secara lebih telus.

“Bagaimanapun, perincian mengenainya masih belum boleh didedahkan selain mesyuarat khusus untuk membincangkan perkara ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan lusa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Seksyen 17(A) Akta SPRM 2018 (Pindaan) berkaitan undang-undang liabiliti korporat akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun tahun depan.

“Paling penting ialah untuk membuat mereka (pihak korporat) memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing selepas Dr Mahathir melancarkan garis panduan mengenainya, tahun lalu.

“Undang-undang ini membolehkan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya perlakuan jenayah dan bukannya sivil, jika kakitangan bawahan melakukan kesalahan rasuah sama ada dengan atau tanpa disedari syarikat,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.