Tingkatkan kebajikan polis antara isu dibangkitkan pada konsultasi RUU IPCMC

JOHOR BAHRU: Keperluan bagi meningkatkan kebajikan pasukan polis dalam menjamin integriti, antara isu dibangkitkan dalam Sesi Konsultasi Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Suruhanjaya Integriti Agensi Pengkuatkuasaan (EAIC) berkata penjelasan berkaitan penerimaan aduan turut mendapat perhatian semasa sesi konsultasi itu yang disertai seramai 250 anggota polis Zon Selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

EAIC dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata sesi itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, adalah satu inisiatif dalam memberi penerangan dan kefahaman secara terus kepada anggota polis mengenai RUU IPCMC yang akan dibacakan di Parlimen pada bulan hadapan.

Tingkatkan kebajikan polis antara isu dibangkitkan pada konsultasi RUU IPCMC 2

Sesi konsultasi itu antara lain bertujuan menyampaikan inti pati fungsi dan bidang kuasa IPCMC sebagaimana yang diperuntukkan dalam RUU IPCMC 2019, sekali gus untuk mendapatkan maklum balas anggota polis di peringkat akar umbi.

”Jika berjaya dilaksanakan IPCMC ini, ia hanya akan menerima aduan salah laku yang dibuat bermula dari tarikh kuat kuasa akta baharu itu, manakala aduan yang dikemukakan kepada EAIC sebelum tarikh kuat kuasa akta ini, ia akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan, iaitu selepas akta baharu diwarta dan dikuatkuasakan,” kata suruhanjaya itu.

Sesi konsultasi berkenaan adalah julung kali diadakan dan dijangka diadakan di tiga zon lain iaitu Zon Tengah, Utara dan Sabah secara berperingkat sehingga akhir bulan ini. - BERNAMA

Sumber : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.