IPCMC Kerajaan akan dengar pandangan semua pihak jumpa PDRM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendengar dan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau juga bersedia bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendengar pandangan pihak berkenaan berhubung IPCMC.

“Ini kerana ada pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan IPCMC.

“Kita akan mendengar pandangan umum sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya selepas merasmikan Platform e-Dagang Digital BOCE Malaysia/ ASEAN di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, hari ini berkata, PDRM akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyampaikan bantahan berhubung usul IPCMC diberi kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap salah laku anggota polis.

Beliau berkata, pihaknya sudah menulis satu surat berhubung perkara sama kepada kepimpinan kerajaan bagi menyampaikan bantahan yang mewakili warga PDRM di seluruh negara termasuk pesara polis.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang diadakan baru-baru ini, ekoran beberapa keputusan yang pada asalnya dipersetujui PDRM namun kebelakangan ini wujud banyak tentangan berhubung pelaksanaan IPCMC.

Penubuhan IPCMC adalah selaras Janji 20 yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menangani isu integriti dan menyiasat salah laku dalam kalangan anggota PDRM menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Sumber : Berita Harian

Tarikh : 02/05/2019

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.