EAIC dalam proses muktamad draf RUU IPCMC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang dalam proses memuktamadkan draf Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pengerusinya, Datuk A Aziz A Rahim, berkata bagaimanapun ia masih tertakluk kepada keputusan dasar kerajaan bagi memastikan IPCMC dapat menjalankan fungsinya dengan berkesan.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) 21 September tahun lalu bersetuju untuk menjenamakan semula dan memperkasakan suruhanjaya itu dengan menjadikannya sebagai IPCMC iaitu sebagai badan pemantau bebas.

“Pada masa ini penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] masih lagi berjalan sepenuhnya termasuk kuasa dan fungsi EAIC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, EAIC memaklumkan suruhanjaya itu hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan pegawai dan kakitangannya memerangi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Majlis menandatangani ikrar itu diketuai A Aziz sambil disaksikan Timbalan Pengarah Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Rasmi Shari.

Menurut kenyataan itu, Pelaksanaan IBR ini adalah komitmen dan iltizam EAIC ke arah memastikan warganya bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa selaras dengan Pelan Nasional Anti Rasuah 2019-2023 yang dilancarkan oleh Dr Mahathir baru-baru ini.

Sumber : Berita Harian

Tarikh : 12/04/2019

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.