Polis serah memorandum IPCMC dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Polis akan menyerahkan memorandum berkaitan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kepada kepemimpinan kerajaan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ketika ini, pihaknya masih meneliti inti pati memorandum itu bagi memastikan ia dirangka secara menyeluruh.

Katanya, memorandum itu hasil daripada perbincangan menerusi Persidangan Agung Tergempar Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) yang bermula semalam hingga hari ini.

“Ada beberapa perkara yang dibincangkan dan dibentangkan seperti langkah proaktif yang boleh diambil pihak berkuasa dan luahan hati mereka berhubung isu tertentu berkaitan IPCMC.

“Memorandum itu sudah diserahkan kepada saya dan pucuk pimpinan polis untuk diteliti.

“Jika ada keperluan, wakil daripada persatuan terbabit akan dibawa bertemu wakil kerajaan membincangkan mengenai memorandum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Agung Tergempar PPKP dan PPRP, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Pada akhir tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata kerajaan bersetuju supaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.

Katanya, IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik ekoran banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai PDRM.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 19/03/2019
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.