SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan memproses sampah elektronik (e-waste) perlu diteruskan bagi menjaga kepentingan awam dan mengelak kerugian kepada negara.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan pemprosesan e-waste secara haram.
Menurutnya, ia memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan kegiatan pemprosesan e-waste haram dapat dibendung dan akhirnya dapat dihapuskan.
"EAIC mencadangkan agar setiap operasi penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan dengan mekanisme pemantauan yang jelas serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah dokumentasi yang telus bagi merekodkan operasi tersebut.
"EAIC juga berpandangan bahawa operasi bersepadu ini dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan yang berkaitan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada 15 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Op Hazard di seluruh negara merampas pelbagai bahan e-waste dianggarkan bernilai RM2.86 bilion seberat 22.9 kilogram.
Selain itu turut diramas sebanyak 365 fasiliti antaranya mesin memproses, penimbang berat dan sebagainya dianggarkan bernilai RM83 juta.
Selain itu, Isnin lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggempur 12 kilang di Segamat, Johor dan Telok Panglima Garang, Selangor.
SPRM kemudian menahan 18 warga tempatan termasuk pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki terlibat merasuah penjawat awam sebagai balasan membantu meluluskan permohonan kemasukan warga asing sebagai pemegang saham di kilang-kilang e-waste di Selangor dan Johor.
Siasatan awal SPRM mendapati premis-premis tersebut disyaki memproses dan melupus bahan-bahan mentah yang tidak dibenarkan seperti gentian kaca, plastik, besi dan logam.
Salah seorang suspek dipercayai membayar wang rasuah kepada penjawat awam sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kilang-kilang miliknya.
SUMBER : Sinar Harian