reformasi.png

KEDUDUKAN Malaysia kekal di tangga ke-57 dengan skor 50 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 adalah satu indikasi membimbangkan yang menzahirkan betapa berpengaruh dan berakar umbinya cabaran rasuah dalam sistem pentadbiran serat masyarakat kita.

Bukan hanya kerajaan, malah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama agensi penguatkuasaan sedang bergelut memperkukuh integriti dan menegakkan tadbir urus bersih di tengah‐tengah ketidakseimbangan ini, manakala rakyat pula perlu bersedia mengharungi ketidakseimbangan sistemik sedia ada.

Namun, skor CPI ini perlu menjadi detik kebangkitan dan peringatan kukuh agar semua pihak, tanpa mengira kedudukan, berganding bahu meraikan reformasi, memulihkan kepercayaan awam dan memartabatkan kredibiliti negara demi masa depan lebih bersih dan teguh.

Skor 50 dalam CPI juga jelas membuktikan kita masih jauh dalam memperkukuh dan mengurus nilai integriti secara efektif. Naik tiga mata (daripada 47 pada 2022 ke 50 pada 2023 dan 2024) bukannya satu kejayaan besar, tetapi petunjuk pelbagai inisiatif dan penambahbaikan perlu dipertingkatkan.

Justeru, keutamaan negara kini harus tertumpu kepada merangka pelan tindakan menyeluruh, holistik dan tegas untuk menegakkan nilai integriti sebagai teras kepada struktur serta sistem pemerintahan.

 
Transparency International Malaysia (TI-M) menyarankan perlunya skor CPI ditingkatkan sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun hingga 2033 supaya Malaysia boleh mencapai kelompok 25 negara teratas dunia dalam aspek integriti dan tadbir urus.

Serius untuk mencapai saranan itu, kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada 14 Mei 2024 dengan objektif utama mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor serta ranking Malaysia dalam indeks berkenaan.

Pasukan petugas ini dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan dianggotai pegawai kanan pelbagai kementerian, pakar berkaitan serta wakil TI-M.

Enam bidang diberi keutamaan, iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik.

Pasukan Petugas Khas CPI ini juga menubuhkan kumpulan fokus untuk menerajui bidang utama ini, iaitu EAIC, Kementerian Kewangan (MOF), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Komunikasi.

Selaku Ketua Peneraju Kumpulan Fokus Penguatkuasaan, EAIC komited mengangkat inisiatif ke arah meningkatkan skor dan ranking CPI Malaysia kerana penguatkuasaan mekanisme integriti antara bidang penting diukur CPI.

Antara langkah utama adalah memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor penguatkuasaan serta memastikan setiap agensi penguatkuasaan beroperasi dengan tahap integriti unggul, seterusnya memberi impak positif terhadap kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.

Pembanterasan rasuah dan salah laku tidak cukup hanya dengan tangkapan kerana ia hanya merawat simptom. Apa lebih penting adalah membedah dan mendedahkan akar masalah – apakah puncanya, kelemahan struktur atau tekanan luar yang menyebabkan berlaku salah laku. Tanpa keberanian mengakui kelemahan, tiada reformasi benar-benar jujur boleh berlaku.

Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) banyak melakukan tangkapan dan pendakwaan, ini bukan bermakna sistem mahupun penguatkuasaan bertambah baik.

Kes seperti pemerdagangan hidupan liar atau penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran dokumen imigresen menunjukkan bukan semua kes pelanggaran integriti membawa impak serupa.

Lebih membimbangkan bukan sekadar jumlah tangkapan anggota penguat kuasa dan pendakwaan tetapi rantaian kesan buruk terhadap keselamatan serta kedaulatan negara, selain kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akibat jenayah itu.

Situasi pelanggaran integriti dan rasuah semakin meruncing perlu memicu kesedaran keperluan melakukan proses audit bagi menghasilkan analisis menyeluruh. Antara tujuannya, memastikan sama ada ia isu budaya organisasi, kelemahan pengawasan atau tekanan luaran.

Siasat kelemahan, ketirisan sistem dalaman

Justeru, siasatan menyeluruh perlu bagi mengesan kelemahan dan ketirisan sistem dalaman termasuk audit organisasi, penilaian budaya kerja dan cadangan dasar berasaskan bukti.

Hasil siasatan itu, kita mampu menggariskan tindakan dan strategi bukan sekadar menampakkan reformasi, sebaliknya pembetulan serta tindakan lebih efektif dapat menyelesaikannya.

EAIC tidak mahu sekadar kisah tangkapan disensasikan. Ketelusan mendedahkan punca sebenar bukan sahaja mengelakkan spekulasi umum dan kelunturan keyakinan komuniti perniagaan mahupun industri, bahkan menambah keyakinan rakyat serta komuniti perniagaan bahawa sistem sedia ada benar-benar berfungsi untuk kebaikan semua.

Rakyat tidak lagi hanya mahu melihat siapa ditangkap dan hukuman diterima. Mereka mahu penyelesaian menyeluruh yang memastikan kesalahan serupa tidak berulang.

Peranan EAIC sangat penting kerana tidak hanya bertindak selepas kejadian, tetapi komited memimpin reformasi sistemik dengan menyemak struktur dan budaya organisasi serta mencadangkan dasar berasaskan data dan fakta.

Negara memerlukan tindakan tegas dan menyeluruh. Rakyat pula mahu reformasi jitu dan lestari untuk memutuskan rantai penyalahgunaan kuasa, sekali gus memperkukuh sistem negara demi masa depan Malaysia lebih bersih, telus serta berintegriti.

EAIC teguh dengan prinsip sifar toleransi terhadap sebarang pelanggaran integriti dalam kalangan lebih 376,000 anggota daripada 20 agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya.

Pelanggaran integriti tidak boleh dinormalisasi dan mesti dibanteras segera sebelum merosakkan sistem pentadbiran, institusi serta keselamatan negara.

Dengan peningkatan kes pelanggaran integriti, ini bukan masa menuding jari, tetapi untuk bersatu hati melaksanakan reformasi sistemik dan menjadikan integriti sebagai kewajipan, demi masa depan negara lebih terjamin.

Sebagai langkah awal ke arah pembudayaan integriti, setiap ketua jabatan perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap sebarang salah laku, rasuah atau pelanggaran integriti dalam kalangan anggota di bawah seliaan mereka.

Ketua jabatan perlu berperanan utama dalam memastikan standard integriti dipatuhi tanpa kompromi. Pemantauan berterusan terhadap perjalanan jabatan, terutama dalam aspek integriti dan tadbir urus, perlu dijadikan keutamaan.

Ini asas penting yang mesti ditetapkan kukuh sebelum sebarang inisiatif lain lebih kompleks diperkenalkan.

Akhir sekali, integriti perlu menjadi paksi utama pembentukan dasar awam dan keputusan pentadbiran di semua peringkat. Setiap dasar digubal perlu mempunyai rasional dan melalui penilaian impak integriti untuk memastikannya bebas daripada konflik kepentingan, sebaliknya berorientasikan kepentingan rakyat.

Kepemimpinan negara pula perlu menjadi teladan bukan sahaja pertuturan, bahkan setiap tindakan dan keputusan diambil. Apabila mereka menunjukkan komitmen jelas terhadap integriti, mesej itu meresap ke seluruh lapisan pentadbiran dan masyarakat.

Rakyat hanya mahu melihat manifesto reformasi dan penyelesaian tuntas terhadap isu mahupun kesan gejala ini terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.

Penulis adalah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

SUMBER : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.