PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati terdapat kelemahan dalam proses meluluskan Borang Pengikraran Kastam bagi melepaskan barang dagangan import.
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan pihaknya juga mendapati terdapat pengimport serta ejen Kastam yang telah membuat pengikraran tanpa mematuhi Perintah Tetap Kastam sedia ada.
Katanya, ia berdasarkan aduan yang mendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak mengambil tindakan membatalkan lesen pengimport dan ejen Kastam yang telah melanggar Perintah Tetap Kastam.
“Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor penambahbaikan kepada pihak JKDM bagi meningkatkan kawalan dan pematuhan ke atas Perintah Tetap Kastam oleh pengimport dan ejen Kastam,” katanya hari ini.
Mesyuarat EAIC juga mengesyorkan agar JKDM mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengimport dan ejen Kastam yang didapati melanggar Perintah Tetap Kastam. – UTUSAN
SUMBER : Utusan Malaysia