Kuala Lumpur: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil tindakan ke atas mana-mana pengimport dan ejen kastam yang didapati melanggar Perintah Tetap Kastam.
Ia berikutan pihaknya menerima aduan terhadap JKDM kerana didakwa tidak mengambil tindakan membatalkan lesen pengimport dan ejen kastam yang melanggar Perintah Tetap Kastam.
Katanya, siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009(Akta 700).
"Hasil siasatan mendapati, terdapat kelemahan dalam proses meluluskan Borang Pengikraran Kastam bagi melepaskan barang dagangan import dan terdapat pengimport serta ejen kastam yang membuat pengikraran tanpa mematuhi Perintah Tetap Kastam sedia ada.
"Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk syor penambahbaikan kepada JKDM bagi meningkatkan kawalan dan pematuhan ke atas Perintah Tetap Kastam oleh pengimport dan ejen kastam," katanya pada kenyataan, hari ini.
SUMBER : My Metro