KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan penjenamaan semula organisasinya, termasuk pengenalan logo baharu sebagai simbol pembaharuan dan pengukuhan peranan institusi itu sebagai sebuah badan pemantau bebas.
EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dilaksanakan selaras dengan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
"Penjenamaan semula ini adalah kesinambungan kepada usaha pembaharuan progresif yang digerakkan sejak 2024, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam.
"Antaranya pembuangan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) secara haram serta penyalahgunaan kuasa dalam pengeluaran visa perubatan, dan kajian untuk mengenal pasti langkah pencegahan kematian dalam tahanan," menurut kenyataan EAIC.
Menurut kenyataan EAIC, inisiatif itu juga merangkumi pemantapan prosedur operasi standard (SOP) siasatan dan pewujudan mekanisme traffic light bagi memantau kemajuan siasatan, yang telah melonjakkan kadar penyelesaian aduan kepada 99 peratus.
"EAIC juga konsisten dalam mengumumkan laporan hasil siasatan kepada umum bagi kes-kes yang disiasat, selaras dengan kehendak Seksyen 30(5), Akta 700 dan ini mencerminkan komitmen keterbukaan suruhanjaya kepada rakyat serta mendukung prinsip akauntabiliti institusi," menurut kenyataan itu.
Sebagai kemuncak kepada segala usaha pembaharuan yang telah digerakkan, EAIC dilantik sebagai Ketua Peneraju Focus Group Penguatkuasaan di bawah Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI), yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).
"Ia adalah pengiktirafan tertinggi terhadap kredibiliti dan komitmen EAIC dalam memacu agenda integriti nasional, selaras dengan aspirasi pencapaian sasaran CPI 2033," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar dalam kenyataan sama berkata perubahan itu, bukan sekadar penjenamaan visual tetapi satu langkah strategik ke arah memperkukuh fungsi pengawasan EAIC secara lebih berfokus dan responsif.
"Penjenamaan semula ini diharap akan dapat menyampaikan matlamat suruhanjaya dengan lebih jelas untuk terus bergerak ke hadapan sebagai peneraju dalam reformasi integriti institusi penguatkuasaan, dengan fokus memperbaiki proses, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan masyarakat secara berterusan," katanya. – BERNAMA
SUMBER : Berita Harian