
Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dan Selangor susulan siasatan pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di pusat hiburan Mansion 9, Kuala Lumpur pada 26 April tahun lalu.
Dalam kenyataan hari ini, EAIC memaklumkan siasatan berkenaan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan serius terhadap peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh JIM.
Menurutnya, ia termasuk pelanggaran Surat Larangan Berada Di Kawasan Berisiko Tinggi bertarikh 18 November 2019 yang jelas melarang pegawai dan anggotanya berada di pusat hiburan, rumah urut atau premis perjudian yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi.
"EAIC turut mendapati beberapa anggota yang mempunyai arahan tugas pada hari kejadian berada di pusat hiburan terbabit, sekali gus melanggar jadual penugasan rasmi.
"Selain itu, terdapat juga ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan siasatan tatatertib oleh pihak JIM berhubung kejadian berkenaan," katanya.
Berdasarkan dapatan itu, EAIC memutuskan pegawai berkenaan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan syor tindakan di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, membabitkan kesalahan seperti cuai dalam melaksanakan tugas, tidak bertanggungjawab, tidak jujur atau tidak amanah.
Pada masa sama, hasil siasatan turut dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM bagi pertimbangan tindakan tatatertib terhadap pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.
"Sebagai langkah penambahbaikan, EAIC mengesyorkan supaya pegawai dan anggota yang berkhidmat melebihi lima tahun di lokasi sama ditukarkan bagi mengelakkan konflik kepentingan atau tohmahan.
"Penyelarasan dan pemantauan lebih ketat terhadap jadual penugasan serta rekod kehadiran juga perlu dilaksanakan.
"Selain itu, pegawai dan anggota terbabit diarahkan memastikan pembayaran penuh dibuat bagi perkhidmatan yang diterima di pusat hiburan berkenaan bagi mengelakkan sebarang tohmahan rasuah," katanya.
EAIC menegaskan syor tindakan dan pembaharuan itu penting bagi mengukuhkan integriti perkhidmatan awam, selain memastikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara.
SUMBER : MyMetro