jp.png

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat kelewatan tidak wajar dilakukan seorang pegawai penyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu membabitkan seorang kanak-kanak.

EAIC berkata, kelewatan itu menunjukkan kegagalan melaksanakan tugasan dengan sewajarnya serta mengambil masa terlalu lama untuk memulakan siasatan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kes.

"Tindakan ini tidak selari dengan Kod Etika JPN yang menetapkan komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas dan bertanggungjawab serta gigih dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dalam tempoh masa ditetapkan di samping menjamin kualiti," kata EAIC dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas kesalahan kurang cekap sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan yang sama.

Selain tindakan tatatertib, EAIC turut mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan, antaranya mengemas kini prosedur kerja dan menambah baik prosedur operasi (SOP) membabitkan penetapan tempoh masa mencukupi kepada pegawai penyiasat supaya dapat melaksanakan siasatan dengan berkesan.

Syor tubuhkan 'Flying Squad'

EAIC turut mengesyorkan penubuhan pasukan 'Flying Squad' di ibu pejabat JPN Putrajaya bagi mengenal pasti punca kes tertunggak, sama ada disebabkan oleh sikap pegawai yang terbabit atau faktor-faktor lain yang menyebabkan kegagalan mematuhi kaedah dan tatacara yang ditetapkan.

Sebelum ini, EAIC menerima aduan terhadap pegawai JPN Sabah yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya berkaitan permohonan kad pengenalan baharu anak pengadu.

Susulan itu, siasatan telah dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

 

SUMBER : Berita Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.