DATUK DR. PRASAD SANDOSHAM ABRAHAM dilahirkan pada 11 Julai 1951 di Singapura. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Nottingham, United Kingdom (1974).
Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman menerusi penyertaan beliau dalam The Honourable Society of Middle Temple pada tahun 1975 sebelum berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya (2011), Hakim Mahkamah Rayuan (2014) dan Hakim Mahkamah Persekutuan (2017 sehingga 2018).
Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham kemudian meneruskan khidmat dengan menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (2018 sehingga 2020) dan kemudian dilantik menjadi Timbalan Pengarah di Pusat Timbang Tara Antarabangsa (AIAC) (2020). Pada tahun 2023, beliau telah menganggotai Ahli Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga kini.
Sepanjang perkhidmatan, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham telah dikurniakan pingat kebesaran Honorary Doctorate serta Alumni Laureate Lifetime Achievement Award daripada Universiti Nottingham, United Kingdom serta darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (P.J.N.).
Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham telah diperkenan pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024 untuk tempoh tiga tahun.