TEKS UCAPAN AMANAT
YBHG. TAN SRI DR. ISMAIL HAJI BAKAR
PENGERUSI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN
SEMPENA
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN EAIC BILANGAN 2/2026
& MAJLIS SELAUT BUDI, SEINDAH MEMORI
7 JULAI 2026 (SELASA), 9.00 PAGI
DEWAN PAMERAN, MENARA USAHAWAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
- Yang Berbahagia Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham
Timbalan Pengerusi EAIC
- Yang Berbahagia Ahli-ahli Pesuruhjaya
- Yang Berusaha Puan Asliza Ali, Setiausaha dan
- Puan Jasmee Hameeza Jaafar
Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik
(Dua insan yang diraikan khusus dalam Majlis Selaut Budi, Seindah Memori pada hari ini)
- Barisan Pengarah Bahagian, pegawai-pegawai kanan serta seluruh warga kerja Suruhanjaya yang saya kasihi sekalian.
- Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat berkumpul di Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan Ke-2 bagi Tahun 2026, yang kita raikan bersama Majlis Selaut Budi, Seindah Memori.
- Hari ini saya lihat dewan dipenuhi dengan aura dan semangat yang luar biasa. Ini amat bertepatan dengan tema perhimpunan yang diinspirasikan daripada kehangatan, kerjasama pasukan dan strategi sukan bola sepak.
- Sebentar tadi juga saya telah melakukan sepakan bola sebagai tanda simbolik bermulanya "Kick-Off Separuh Masa Kedua" ataupun Second Half perjalanan kita semua di EAIC bagi tahun 2026.
- Sedar tidak sedar, enam bulan pertama tahun ini sudah pun berlalu. Kalau dalam perlawanan bola sepak, second half ialah waktu genting dan fasa yang paling mendebarkan. Masa inilah yang akan menentukan sama ada kita akan menang, atau kita kalah.
- Jadi, dalam second half ini, kita tidak boleh lagi sekadar tunggu dan lihat. Dah tak perlu lagi kita nak rancang-rancang di atas kertas. Sekarang ini, masa untuk kita turun ke padang dan tunjukkan kerja sebenar kita!
- Semua di sini daripada pesuruhjaya, pengurusan profesional sehinggalah pelaksana, kita semua adalah satu pasukan. Kita kena terus bergerak, bekerjasama dan pastikan kita buat kerja yang terbaik untuk hantar "gol" kejayaan kepada EAIC!
PENGHARGAAN FASA "FIRST HALF"
Warga Kerja yang dikasihi,
- Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada anda semua. Sepanjang enam bulan pertama ini, iaitu dalam fasa first half, saya nampak komitmen dan kerja keras yang telah ditunjukkan oleh semua warga kerja adalah sangat baik.
- Di sebalik urusan harian kita mengendalikan aduan dan siasatan salah laku, first half kali ini mencatatkan banyak kisah kejayaan yang mematangkan kita. Walaupun terpaksa lalui pelbagai liku dan cabaran yang amat mencabar contohnya dalam mengendalikan kes berprofil tinggi seperti kes FIFA, ia sebenarnya telah memberikan ilmu dan pengalaman yang sangat bernilai. Cabaran ini telah mendewasakan pasukan IO kita, membuatkan mereka menjadi lebih hands-on dan lebih bersedia menghadapi apa jua kes pada masa hadapan.
- Selain siasatan EAIC juga aktif turun ke padang melaksanakan sesi libat urus dan lawatan audit SOP secara berterusan. Kalau dikira keseluruhan warga kerja, jumlah kita ni kecil saja, tak sampai pun 80 orang. Tetapi, tanggungjawab yang kita pikul amat besar, iaitu untuk mengawal selia 21 agensi penguatkuasaan yang melibatkan ratusan ribu anggota di seluruh negara!
- Namun apa yang saya amat bangga di atas konsistensi anda semua sebagai satu pasukan. Meskipun tenaga kerja kita terhad, kita tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak bergerak dari satu agensi ke satu agensi yang lain.
- Malah, impak kerja kita makin meluas melalui kajian lapangan berkenaan isu e-waste, serta program kesedaran yang berjaya menarik penglibatan terus daripada Ketua-Ketua Jabatan, sehinggalah mendapat perhatian dan sokongan daripada Ketua Setiausaha Negara.
- Semua kejayaan dalam first half ini membuktikan apabila kita semua bermain sebagai satu pasukan yang padu dan konsisten, tiada apa yang mustahil untuk kita capai.
TEMA " KICK OFF YOUR HEALTH, SIHAT DIRI, KUKUH INTEGRITI"
Tuan-tuan dan Puan-puan,
- Saya amat tertarik dengan tema pengisian warga kerja kita hari ini, “Kick Off Your Health, Sihat Diri, Kukuh Integriti”. Tema ini sangat tepat dan relevan kerana kita semua sedia maklum, dengan jumlah tenaga kerja yang kecil, beban tugas di Suruhanjaya ini amatlah besar dan menuntut komitmen yang sangat tinggi.
Sebab itu, stamina dan kesihatan yang baik adalah aset paling berharga untuk diri kita. Saya tidak mahu melihat ada warga kerja kita yang tumbang, kerap jatuh sakit atau burnout kerana keletihan menanggung beban tugas.
- Selain itu bila kita bercakap tentang menjaga kesihatan luaran ini, ia sebenarnya sangat berkait rapat dengan "kesihatan dalaman" kita iaitu integriti. Kerana apa? Kedua-duanya memerlukan disiplin yang tinggi.
- Sebagaimana seorang pemain bola sepak yang disiplin menjaga fizikalnya agar tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh membawa kepada kad merah, begitu jugalah kita di EAIC. Kita perlu sentiasa cergas dan berhati-hati dalam memastikan setiap tindakan, keputusan dan urusan yang kita laksanakan sentiasa bersih, telus, mematuhi prinsip akauntabiliti, serta memberikan mutu kerja yang terbaik untuk organisasi.
HALA TUJU
- Memasuki separuh masa kedua tahun 2026 ini, ia bukanlah masanya untuk kita berpuas hati dengan pencapaian yang lalu. Sebaliknya, kita perlu melipatgandakan usaha untuk terus meningkatkan prestasi. Setiap tindakan, dapatan dan pengesyoran yang dikeluarkan perlulah memberi impak yang nyata serta memperkukuh lagi pematuhan integriti oleh agensi-agensi seliaan.
- Ke hadapan prestasi cemerlang yang kita bina sekarang adalah persediaan penting untuk fasa yang lebih besar. Seperti yang kita sedia maklum, proses reformasi institusi untuk kita bertukar menjadi Ombudsman Malaysia sedang berjalan lancar sebagaimana yang dirancang dan kita hanya menunggu masa sahaja untuk Rang Undang-Undang ini dibentangkan di Parlimen.
- Transisi besar ini menuntut kita semua untuk lebih bersedia dan bekerja dengan lebih cekap - we must make every government penny counts! Setiap sen dana kerajaan yang dibelanjakan mesti diterjemahkan kepada mutu kerja terbaik. Apapun nama atau struktur organisasi kita pada masa hadapan, semangat kerja dan integriti warga EAIC mesti terus kekal pada tahap yang tertinggi.
UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA YANG DIRAIKAN
Hadirin yang dihormati,
- Mengakhiri amanat ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Asliza Ali dan Puan Jasmee Hameeza Jaafar atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka bersama EAIC.
- Secara peribadinya, saya amat menghargai setiap komitmen yang dicurahkan dalam membantu saya mengemudi Suruhanjaya ini. Memetik tajuk majlis kita hari ini, iaitu "Selaut Budi, Seindah Memori", sesungguhnya segala sumbangan yang telah diberikan akan sentiasa dihargai dan menjadi kenangan terbaik buat EAIC.
Saya mendoakan agar Puan Asliza dan Puan Jasmee akan terus cemerlang dalam apa jua lembaran baharu yang diceburi selepas ini.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.