KONGRES NASIONAL ISLAM, KELUARGA MALAYSIA DAN

KEHARMONIAN: MEMBINA AGENDA KALIS CABARAN MASA

DEPAN”

SESI II – KELUARGA MALAYSIA DALAM CABARAN SEMASA

KERTAS 6 – KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM TADBIR URUS BAGI

KELUARGA MALAYSIA YANG SEJAHTERA

19 Mei 2022

Dewan Besar,

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Bismillahirahhmanirrahim,

 

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera,

 

Yang Berusaha Dr. Mohd Sani bin Badron

Felow Utama/Pengarah, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan

(EMAS) IKIM, Moderator pada sesi ini

 

Ahli-ahli panel

Yang Berbahagia Prof. Dr. Sivamurugan Pandian

Pensyarah Universiti Sains Malaysia, dan

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Sulaiman bin Mahbob

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), serta

 

Sidang hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia Nya jua, kita dapat bersama-sama berhimpun di dalam majlis Kongres Nasional bertemakan Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan” bersempena sambutan ulang tahun Institut Kefahaman Islam (IKIM) yang ke-30.

2. Pertama-tamanya saya mengucapkan tahniah kepada IKIM atas pencapaiannya selama 30 tahun ini, dan terima kasih kepada pihak IKIM di atas kesudian menjemput saya untuk ikut sama dalam majlis ini. Lebih- lebih lagi untuk membincangkan mengenai sebuah topik yang sangat dekat di hati saya. Integriti. Walaupun saya telah bersara dari perkhidmatan awam 10 tahun yang lalu, iaitu apabila saya menjangkau usia 61 tahun, Perkhidmatan Awam, terutamanya tadbir urus, masih amat sebati dalam hati saya.

Hadirin sekalian,

3. Saya dipinta untuk membincangkan mengenai kepentingan integriti dalam tadbir urus bagi sebuah Keluarga Malaysia yang sejahtera. Tetapi apakah itu integriti dalam tadbir urus? Dan apakah kaitannya untuk mencapai sebuah Malaysia yang sejahtera?

4. Pada saya, untuk mencapai Malaysia yang sejahtera, adalah perlu bagi Malaysia mempunyai Pentadbiran Awam yang menegakkan kedaulatan undang-undang, menerapkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti serta tadbir urus yang baik dalam menjalankan autoriti atau kuasa. Dalam konteks ini sebarang perbuatan atau peluang rasuah perlu dihapuskan. Dan pada saya, rasuah adalah hanya satu komponen integriti, walaupun penting, hanya satu komponen integriti. Banyak lagi isu-isu integriti yang perlu diperjuang dan ditangani, selain daripada rasuah, dalam tadbir urus negara kita.

5. Isu dan masalah rasuah bukan mutlak kepada penjawat awam, atau pegawai kerajaan sahaja. Sektor swasta dan korporat juga bertanggungjawab bukan sahaja sebagai pemberi, tetapi sebagai peminta dan penerima rasuah.

6. Dewasa ini, pelaporan rasuah semakin menjadi-jadi, seolah-olah telah menjadi darah daging sebahagian besar dari kita. Bukan sahaja dikalangan penjawat awam malah rakyat di negara ini secara amnya. Bagaikan sebuah pandemik ala Covid-19 yang melanda negara kita. Yang saya hairan, sangat hairan, berdasarkan penulisan dalam media yang dulunya dipanggil mainstream mahupun media sosial (mungkin sekarang ini “mainstream” ) semuanya mengutuk pelakuan rasuah. Tiada satu parti atau pihak, pada pembacaan saya, yang menyokong rasuah. Dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp yang saya dimasukkan, termasuk ‘’Ex PTD’’, rata-rata mengutuk dan menonjol seolah-olah semasa kami dalam perkhidmatan, tiada isu rasuah waktu itu. Dan kami semua tidak pernah memberi atau menerima rasuah. Ajaib.

Saudara-saudari sekalian,

7. Namun apa pun, pada hemah saya, masalah rasuah di negara ini, ibarat kematian, adalah benar. Kalaupun ia hanya melibatkan sebilangan kecil daripada kita, kita tidak boleh duduk diam. Ia umpama duri dalam daging, menjadi nanah yang akan membusuk, merosakkan anggota tubuh badan kita semua jika golongan ini, kalaupun minoriti yang kecil, tidak kita ketepikan. Saya berkeyakinan penuh, majoriti besar kita berpegang teguh kepada prinsip integriti.

Para hadirin sekalian,

8. Untuk memerangi gejala rasuah, pembudayaan integriti dan tadbir urus adalah merupakan penyelesaian terbaik. Sesungguhnya, tiada rasuah atau lain-lain ciri negatif akan berlaku sekiranya manusia bertindak secara berintegriti; konsisten dalam melakukan perkara yang betul walaupun tidak ada siapa yang memerhatikan. Sesungguhnya ujian terhadap seseorang yang berintegriti ialah melakukan perkara yang betul apabila TIADA sesiapa yang melihat!

9. Integriti perlu menjadi nukleus kepada tadbir urus. Membudayakan integriti dalam tadbir urus akan melindungi hak rakyat, menghentikan ketirisan dana awam, memperkuatkan keselamatan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Saudara-saudari sekalian,

10. Agenda pembanterasan rasuah telah menjadi keutamaan negara untuk sekian lama. Beberapa inisiatif di peringkat nasional telah dibangunkan, antaranya–

(a)Pelan Integriti Nasional (PIN)

(b)Program Transformasi Kerajaan

(c)Pelan Antirasuah Nasional

11. PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004 oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri pada masa itu, bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia. Ia adalah selaras dengan matlamat mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika tinggi selari dengan Wawasan 2020.

12. Dalam membuat persediaan untuk sesi hari ini, saya telah meneliti semula kertas pembentangan bertajuk “The National Integrity Plan of Malaysia” oleh Allahyarham Datuk Dr. Mohd Tap Salleh, Presiden Institut Integriti Malaysia pada 2 April 2007. Beliau telah menghuraikan komponen-komponen PIN serta langkah-langkah dan strategi untuk mencapainya.

13. Inisiatif PIN telah diteruskan dengan pembentukan Program Transformasi Kerajaan atau GTP melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Banteras Rasuah. Inisiatif ini telah diumumkan pada 28 Januari 2010 oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri pada masa itu.

14. GTP memberikan tumpuan kepada peningkatan sistem penyampaian kerajaan. GTP menggariskan bahawa rasuah mesti dihapuskan sepenuhnya untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta menghapuskan ketidakcekapan dalam sistem pentadbiran Kerajaan. NKRA Banteras Rasuah memperkenalkan program yang tidak hanya tertumpu kepada masalah rasuah dalam agensi penguatkuasaan, malah turut memperkuatkan sistem perolehan Kerajaan antaranya melalui pengenalan sistem e-perolehan.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

15. Dalam terus memperkasakan inisiatif antirasuah, Kerajaan pada 2019 telah memutuskan untuk menggabungkan semua usaha mengenai tadbir urus, integriti dan antirasuah di bawah suatu pelan bersepadu. Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dirangka bagi menggantikan PIN yang menetapkan sasaran praktikal dalam usaha menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus negara bagi tempoh lima tahun hingga 2023.

16. Bagaimanapun, sejauh manakah pencapaian kita setakat ini? Setelah empat tahun NACP diperkenalkan, Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International menunjukkan kedudukan Malaysia yang semakin menurun. Kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara dalam CPI 2021, berbanding tangga 57 pada tahun 2020. Malah skor Malaysia juga menurun kepada 48 berbanding 51 pada 2020.

17. Dengan pelbagai inisiatif antirasuah diperkenalkan, adalah amat mengecewakan bagaimana isu rasuah dan ketirisan integriti, atau persepsi ini masih menjadi permasalahan utama yang membelenggu negara kita.

Sidang hadirin sekalian,

18. Isu keruntuhan integriti bukan isu individu, atau isu dalaman organisasi, tetapi merupakan isu kita bersama. Ini adalah rumah kita, keluarga kita, Malaysia kita. Sekiranya kita sendiri tidak ada semangat untuk membersihkannya, siapa lagi boleh?

19. Namun sungguhpun isu ini adalah isu bersama, ianya adalah isu individu. Isu yang perlu ditangani oleh setiap individu. Sebagai individu, adakah kita mempunyai ZETO (Zero Tolerance) terhadap salah laku oleh kita sendiri. Salah laku oleh orang bawah. Salah laku oleh Ketua. Salah laku oleh rakan sebaya. Atau kita hanya berdiam diri pada sebarang kelakuan sedemikian disekeliling kita.

20. Pembudayaan integriti amat penting dilaksanakan oleh setiap dari kita. Integriti merangkumi tatakelakuan yang melibatkan isu-isu nilai, etika dan pegangan agama seseorang. Integriti bukan sahaja bermakna kita menjauhkan diri daripada amalan-amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam konteks yang lebih luas, ia juga merangkumi nilai-nilai taat, jujur dan amanah. Ianya merangkumi memberi perkhidmatan yang terbaik mungkin kepada pelanggan kita!

Sidang hadirin sekalian,

21. Membudayakan integriti dalam menjalani kehidupan dapat menjadi benteng kepada kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, agama, organisasi dan negara.

22. Bayangkan sekiranya nilai integriti diperteguhkan di kalangan penjawat awam, kita sudah pasti dapat mengelakkan sebarang perbuatan rasuah dan pembaziran seperti yang sering dilaporkan dalam Laporan

Ketua Audit Negara.

23. Sekiranya nilai integriti dipegang teguh oleh setiap lapisan masyarakat, ia tidak akan membuka peluang kepada mana-mana perbuatan rasuah dan salah laku. Orang Awam dan sektor swasta tidak akan cuba memberi rasuah kepada penjawat awam. Atau mereka sendiri tidak meminta rasuah daripada pelanggan mereka sendiri.

Para hadirin sekalian,

24. Usaha pencegahan rasuah dan pemurnian integriti hanya akan berkesan sekiranya seluruh ekosistem di negara ini menyokong matlamat tersebut. Undang-undang hanya akan berkesan sekiranya setiap dari kita, warganegara Malaysia tidak melakukan rasuah, dan bertindak sebagai agen pencegah rasuah.

25. Pada hemah saya, kita telah ada banyak dasar, undang-undang, peraturan yang lebih dari cukup dalam semua bidang. Apa yang kita kurang ialah keazaman, iltizam dan penguatkuasaan. Pada pemerhatian saya, minda kita yang “lenient”, yang “forgiving”, yang kesian tidak memungkinkan kita menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sepenuhnya. Sebagai contoh dan bayangan, rata-rata markah LNPT (Laporan Nilai Prestasi Tahunan) setiap pegawai dan kakitangan adalah dalam lingkungan 90% ke atas. Ini termasuk untuk mereka yang mempunyai pelbagai isu! Antidote untuk isu-isu integriti: Kita sebagai individu perlu kurang “tolerant” dan kurang “lenient”.

Saudara-saudari sekalian,

26. Saya amat berbangga dengan PETRONAS. Sebagai syarikat pemegang amanah khazanah minyak dan gas negara, dan merupakan syarikat tunggal Malaysia yang tersenarai dalam Fortune Global 500, PETRONAS amat mendukung tinggi nilai-nilai integriti. PETRONAS komited mengekalkan piawaian tinggi tadbir urus, dan seterusnya, pentadbiran berintegriti tinggi yang bebas rasuah seperti terkandung dalam CoBE (Code of Conduct and Business Ethics).

27. Inisiatif memupuk budaya integriti bukanlah sesuatu yang baru di PETRONAS. Ia telah dimulakan melalui pelancaran Nilai-nilai Bersama atau “Shared Values” PETRONAS pada tahun 1989 dimana integriti adalah satu daripada empat Nilai-Nilai Bersama PETRONAS.

28. Nilai-nilai Bersama PETRONAS masih kekal relevan hingga kini, malah telah menjadi DNA PETRONAS. Perkara ini boleh dilihat dari kenyataan PETRONAS pada 9 April 2022, bahawa PETRONAS bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM berkenaan isu tangkapan Eksekutif PETRONAS bersabit kesalahan rasuah.

29. PETRONAS pada tahun 2012 menjadi salah satu organisasi terawal yang menandatangani Ikrar Integriti Korporat atau Corporate Integrity Pledge dengan SPRM, satu inisiatif yang diperkenalkan untuk menginstitusikan struktur tadbir urus korporat dalam usaha memerangi rasuah.

Sidang hadirin sekalian,

30. Sudah pasti, cabaran pencegahan rasuah dan pembudayaan integriti adalah satu perjalanan yang panjang. Corporate Integrity Pledge hanya satu permulaan, dan organisasi perlu memainkan peranan untuk membudayakan aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah.

31. Antara inisiatif yang telah diambil PETRONAS, dan pada pendapat saya merupakan satu inisiatif yang amat berkesan adalah dengan memperkenalkan Dasar Tiada Hadiah – “No Gift Policy”. Dasar ini menegah sebarang penerimaan dan pemberian hadiah untuk mengelakkan konflik kepentingan. Dan dasar ini telah dipraktikkan oleh setiap di PETRONAS, hatta oleh pengawal keselamatan sendiri. Saya masih ingat peristiwa yang berlaku sewaktu saya Pengerusi PETRONAS. Seorang sahabat saya telah menghantar buah durian untuk diberikan kepada saya dan saya telah dimaklumkan beberapa hari selepas itu yang pemberian tersebut telah ditolak oleh pengawal dengan memegang tegas kepada prinsip Dasar Tiada Hadiah.

32. Saya amat berbangga dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh mereka di PETRONAS, dalam usaha membanteras rasuah atau sebarang kemungkinan rasuah. Termasuk di peringkat pengawal keselamatan.

33. Malahan, saya amat gembira kenyataan dasar ini diterima pakai oleh beberapa syarikat-syarikat lain di Malaysia dan juga kementerian- kementerian dan jabatan-jabatan Kerajaan. Syukur alhamdulillah.

34. Saya percaya dan berdoa ianya lebih dari hanya kenyataan dasar. Ianya diamalkan dan dilaksanakan.

35. Di PETRONAS, saya mendokong dan menyokong penjelmaan hasrat CoBE agar dimana sahaja PETRONAS beroperasi adalah lebih baik PETRONAS tidak mendapat sebarang projek dari mendapatnya melalui pemberian rasuah.

Hadirin sekalian,

36. Rasuah hanyalah satu komponen sahaja daripada integriti. Sungguhpun dewasa ini ianya disamakan dengan integriti. Sebenarnya, banyak lagi isu-isu integriti yang tidak melibatkan pemberian atau penerimaan rasuah yang mempunyai kesan negatif terhadap kesejahteraan kita. Umpamanya:

(i) Diberi layanan buruk atau dimarah-marah oleh pegawai apabila berurusan dengan mereka.

(ii) Dimarah-marah atau dijerit-jerit oleh pengawal.

(iii) Mengalami apa yang saya suka analogikan sebagai episod “Cherok Paloh all over again”.

37. Perkhidmatan awam adalah tunjang sesebuah negara. Kejayaan dan kesejahteraan sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana sistem pemerintahan dan pentadbirannya berpegang kepada etos yang mulia.

38. Penghayatan kepada etos sebagai asas kepercayaan, ideologi dan sistem nilai yang menjadi teras dan panduan dalam tadbir urus sesebuah kerajaan adalah kritikal bagi menentukan kestabilan sosioekonomi, kelangsungan kemajuan rakyat dan kesejahteraan Malaysia. Untuk sekian lamanya, sejak Kemerdekaan lagi, dan jauh sebelum itu, sejak pra- penjajahan, termasuk pada zaman kegemilangan pemerintahan Melayu telah diperinci peri penting urus tadbir yang mulia.

39. Pada tahun 2012, Buku Etos Perkhidmatan Awam telah digarapkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Pada hemah saya, nilai-nilai dalam Buku Etos tersebut harus menjadi pegangan penjawat awam di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

40. Izinkan saya untuk berkongsi akan lapan nilai yang telah digariskan. Saya percaya nilai-nilai ini relevan di setiap sektor, bukan sahaja perkhidmatan awam, juga kepada perkhidmatan swasta.

41. Yang pertama adalah berintegriti. Ini bukan hanya menjauhi rasuah. Rasuah hanya sebahagian dari subjek integriti. Integriti bermaksud melakukan yang terbaik dalam setiap yang dipertanggungjawabkanDoing our best is a reflection of our integrity. Dan melakukan yang terbaik tidak memungkinkan rasuah akan berlaku.

42. Yang kedua adalah budaya kesegeraan. Sekiranya sesuatu pekerjaan itu boleh disiapkan pada hari ini, baik kita siapkan pada hari ini jua. Harus diingatkan, apabila seseorang menghantar e-mel, surat atau borang, mereka menunggu keputusan kita untuk mengambil langkah seterusnya. Sekiranya kita memberikan keputusan dengan segera, bayangkan kesannya kepada individu tersebut. Individu yang menerima layanan segera daripada kita akan memudahkan jua urusan orang lain, dan akhirnya mendatangkan manfaat kepada setiap dari kita, khususnya Negara kita.

43. Dari perspektif integriti, sekiranya sesuatu itu boleh didapati dengan cepat dan mudah, tidak ada sebab bagi mana-mana pihak untuk memberi atau mendapat sebarang pelincir. Pada pandangan saya, pencapaian oleh PEMUDAH dalam aspek ini menyumbang kepada peningkatan “Ease of Doing Business in Malaysia”. Ranking Malaysia dalam indeks Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia meningkat dari tangga ke-25 di kalangan 175 ekonomi dalam tahun 2007 kepada ke-6 di kalangan 189 ekonomi dalam tahun 2013.

44. Yang ketiga adalah mengutamakan pelanggan. Rakyat adalah merupakan pelanggan utama Kerajaan dan Perkhidmatan Awam. Teras utama perkhidmatan adalah yang responsif, mesra dan mengutamakan pelanggan. Layanan yang sama, konsisten, dan saksama kepada semua rakyat dapat memastikan tiada ruang atau peluang terhadap ketirisan berlaku.

45. Yang keempat adalah kerjasama dan bersepakat. Kita harus sentiasa bersedia untuk bekerjasama untuk kepentingan bersama. Perkhidmatan awam tidak boleh bekerja bersendirian dalam melaksanakan tugasnya. Kita perlu mempunyai semangat Blue Ocean untuk menghasilkan keputusan yang terbaik terutamanya dalam era dunia tanpa sempadan ini.

46. Yang kelima adalah inovasi dan kreatif. Inovasi dan kreativiti datang dari minda yang sentiasa mencabar norma dan mensasarkan sesuatu yang mustahil. Untuk mencapai status negara maju, Malaysia perlu menetapkan sasaran yang luar biasa. Kerana sasaran ini akan menjadi pemangkin untuk kita melakukan yang terbaik, lebih baik dari kebiasaan.

47. Yang keenam adalah musyawarah dan penglibatan. Penglibatan rakyat, badan bukan Kerajaan dan sektor swasta dalam proses penggubalan dasar dan program awam adalah perlu, bagi tujuan penambahbaikan dasar agar dapat memberikan impak positif yang maksima kepada lanskap sosioekonomi negara. Dan juga dalam pelaksanaan dasar-dasar dan program tersebut.

48. Yang ketujuh adalah melihat aduan sebagai hadiah. Perkhidmatan awam sering menerima aduan berkenaan ketidakpuasan hati terhadap prosedur dan perkhidmatan yang disediakan, yang seringkali dikaitkan dengan ketidakcekapan serta salah laku penjawat awam. Justeru itu, aduan perlu dilihat sebagai hadiah, di mana melalui aduan tersebut, kelemahan dalam prosedur, kakitangan dan lain-lain dapat dikenal pasti dan diperbaiki. Malah ini akan dapat menjimatkan kos di pihak Kerajaan, tanpa perlu menambah perjawatan untuk mengetahui sebarang kelemahan.

49. Dan yang kelapan adalah menimba ilmu dan meningkat kemahiran. Mendepani cabaran masa kini dan hadapan, menuntut penjawat awam memahami kehendak pelanggan yang semakin berpendidikan dan bermaklumat. Oleh yang demikian, melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan yang relevan akan memantapkan kompetensi penjawat awam seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Hadirin yang dihormati,

50. Amanah merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kehidupan manusia, apatah lagi bagi mereka yang telah diberi tanggungjawab dan kuasa terhadap urusan pentadbiran, organisasi, masyarakat dan negara. Ianya perlu dijaga sebaiknya bagi menghindari unsur yang boleh merosakkan.

51. Bagi kita yang beragama Islam, ini sepatutnya amat mudah. Dengan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan, sebenarnya telah menjadikan kita sebagai seorang insan yang berintegriti. Keimanan dan ketakwaan di dalam diri menjadi benteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan integriti. Malah setiap agama menuntut penganutnya untuk menegakkan integriti.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.