TEKS UCAPAN
YBRS. TUAN MOHD ASNAWI ABU HANIPAH
PENGARAH BAHAGIAN OPERASI
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)

PROGRAM ENCOURAGING RESPONSIBILITY, ACCOUNTABILITY, TRUSTWORTHINESS (E.R.A.T) RIDE EAIC, PENGUAT KUASA & MASYARAKAT 23 SEPTEMBER 2023 (SABTU)
RESORT SERI MENANTI, KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.

 

[SALUTASI]● TERIMA KASIH SAUDARI PENGACARA MAJLIS.

● YANG BERUSAHA, TUAN MOHD FAIZAL ABDUL MANAP, PEGAWAI DAERAH KUALA PILAH MERANGKAP YANG DIPERTUA MAJLIS DAERAH KUALA PILAH;

● YANG BERUSAHA TUAN SHAHARUDDIN DAUD, PEGAWAI PENERANGAN DAERAH KUALA PILAH;

● YANG DIHORMATI, PENGARAH BAHAGIAN DAN TIMBALAN PENGARAH BAHAGIAN EAIC;

● KETUA-KETUA JABATAN, PEGAWAI DAN KAKITANGAN AGENSI AWAM PERINGKAT NEGERI DAN DAERAH KUALA PILAH;

● AHLI-AHLI MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) SERI MENANTI;

● WAKIL-WAKIL PERSATUAN DAN PERTUBUHAN;

● PESERTA KONVOI MOTOSIKAL ERAT RIDE EAIC, PENGUAT KUASA DAN MASYARAKAT;

● RAKAN-RAKAN MEDIA MASSA, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN.

 

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH,
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM PERPADUAN.

 

1. Terlebih dahulu saya bagi pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara Konvoi Motosikal dan Majlis ERAT Ride, Penguat Kuasa & Masyarakat pada hari ini.

 

2. Alhamdulillah, segala puji dan syukur Kehadrat Ilahi.

Acara konvoi motosikal ERAT Ride dari Putrajaya yang bermula pada jam 9.00 pagi tadi telah selamat tiba kira-kira pada jam 11.00 pagi di Seri Menanti.

Tahniah diucapkan kepada semua rider yang telah menjayakan hasrat kami di Suruhanjaya ini untuk menyatukan EAIC, Penguat Kuasa dan Masyarakat. Pastinya pengalaman yang kita tempuhi walaupun hanya dalam tempoh 2 jam tadi, akan memberikan kenangan manis serta menyuntik jalinan semangat perpaduan yang erat di antara kita semua.

 

3. Untuk makluman hadirin sekalian, acara konvoi motosikal ini merupakan kali pertama diadakan oleh EAIC, bagi mendekati penguat kuasa dan masyarakat untuk memberi peringatan secara langsung agar menolak salah laku dan bersama-sama membendung ketirisan integriti perkhidmatan awam.

 

4. Saya yakin, dengan penglibatan anak-anak muda daripada kalangan peminat motosikal ini dapat memberikan pendedahan berkenaan kewujudan dan fungsi EAIC serta sedikit sebanyak juga telah memberikan impak kesedaran integriti kepada mereka semua.

 

Hadirin yang saya muliakan,

 

5. Menerusi sesi taklimat penerangan dan soal jawab yang dijalankan pada pagi tadi, saya pasti tuan-tuan dan puan telah memperoleh pencerahan mengenai khidmat dan tanggungjawab Suruhanjaya ini.

 

6. Diharapkan maklumat yang disampaikan tadi akan dimanfaatkan sebaiknya, terutama ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Semoga info-info penting berkaitan EAIC, seperti bidang kuasa dan saluran aduan dapat diuar-uarkan kepada semua pihak secara berterusan oleh tuan-tuan dan puan-puan.

 

Hadirin dan hadirat sekalian yang dihormati sekalian,

7.  E – ENCOURAGING bermaksud MENGGALAKKAN;
     R – RESPONSIBILITY bermaksud BERTANGGUNGJAWAB;
     A – ACCOUNTABILITY bermaksud AKAUNTABILITI;dan
     T – TRUSTWORTHY bermaksud KEPERCAYAAN

 

8. Itulah pengertian dan simbolik di sebalik nama program temu mesra kita pada hari ini, seterusnya membawa kepada satu hasrat dan matlamat oleh EAIC, iaitu:

Untuk menggalakkan nilai-nilai

KEBERTANGGUNGJAWABAN, AKAUNTABILITI

dan KEPERCAYAAN dalam kalangan semua pihak selaras dengan

usaha membanteras salah laku anggota penguat kuasa dan

membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam.

 

9. Program ini merupakan siri temu mesra EAIC bersama masyarakat yang bermula pada tahun 2022. ERAT EAIC sebelum ini telah menemui masyarakat di Kota Bharu, Kelantan, Ipoh, Perak dan pada tahun ini di Putrajaya, Ayer Keroh, Melaka dan seterusnya pada hari ini di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

 

10. Antara pengisian program yang kami bawakan kepada masyarakat melalui program ini ialah sesi taklimat penerangan dan pendidikan mengenai EAIC, dialog perkongsian isu-isu salah laku yang terjadi di kawasan setempat dan soal jawab, sesi sembang santai bersama dengan pengamal media, siswazah serta orang awam.

 

11. Melalui ERAT EAIC, kami turut menjalankan Kaji Selidik Maklum Balas Pelanggan bagi mengumpulkan rungutan, pandangan dan suara rakyat mengenai agensi penguatkuasaan di bawah seliaan Suruhanjaya ini.

 

12. Kaji selidik yang mengandungi isu-isu salah laku dan syor-syor penambahbaikan daripada segenap lapisan masyarakat ini, akan dirumuskan dan dikemukakan kepada agensi-agensi seliaan EAIC bagi memperbaiki dan meningkatkan keberkesanan khidmat mereka kepada anda semua.

 

13. Oleh itu kami berharap program seumpama ini akan meningkatkan lagi, kepekaan serta keprihatinan rakyat, terhadap amalan ketirisan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan, di samping memperkukuhkan sokongan semua pihak terhadap agenda Kerajaan untuk memerangi dan mencegah salah laku dalam perkhidmatan awam.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

14. Selain daripada core business EAIC iaitu penerimaan aduan dan siasatan terhadap kes-kes salah laku pegawai penguat kuasa, di bawah Akta 700, EAIC turut diberikan tanggungjawab untuk merumuskan perundangan, mengesyorkan penambahbaikan tatacara dan prosedur pentadbiran dalam menggalakkan integriti di kalangan agensi penguatkuasaan seliaannya.

 

15. Sehubungan itu, EAIC giat menjalankan Sesi Libat Urus bersama agensi penguatkuasaan seliaan untuk mendapatkan penerangan dan maklum balas berkenaan bidang tugas, aspek operasi dan permasalahan agensi-agensi ini agar aduan salah laku yang diterima dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya.

 

16. Di sinilah EAIC menjalankan tanggungjawab semak dan imbang dan bukan hanya mencari kesalahan atau menghukum pegawai atau agensi yang diadukan. Setiap fungsi yang termaktub dalam Akta 700 akan dilaksanakan oleh EAIC dengan adil dan telus tanpa sebarang unsur prejudis.

 

17. Tuan-tuan dan puan-puan, sedikit perkembangan semasa mengenai EAIC.

Pada tahun ini EAIC telah memberikan fokus utama terhadap agensi yang menjalankan operasi di pintu masuk sempadan negara. Kami menjangka sesi libat urus yang melibatkan sempadan perairan dan darat antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Indonesia dan Malaysia-Brunei termasuk lawatan ke semua pintu masuk sempadan akan selesai dijalankan di seluruh negara pada tahun ini.

Setelah itu laporan khas merangkumi semua perbincangan dan syor-syor penambahbaikan akan dipanjangkan kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat untuk tindakan.

 

18. Selain itu, untuk makluman hadirin sekalian, hasil daripada pemantauan terhadap laporan media serta semakan rekod aduan yang diterima, EAIC pada tahun ini telah menubuhkan Jawatankuasa Kajian Berkaitan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Dalam Melaksanakan Penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 [Akta 317] Di Perairan Negara.

 

19. Jawatankuasa Kajian tersebut kini giat menjalankan kajian lapangan yang meliputi siri lawatan serta pengauditan ke premis APMM dan DOF di seluruh negara, termasuklah siri rondaan dan operasi bersama kedua-dua pihak dan serta soal selidik bersama pegawai APMM/DOF, NGO, nelayan dan orang awam.

 

Hadirin yang dihormati,

 

20. Sehubungan dengan perkembangan dan fungsi-fungsi ini, EAIC bukan hanya berfungsi sebagai badan pemantau/pengawasan integriti yang hanya menerima aduan dan menyiasat salah laku pegawai penguat kuasa, tetapi EAIC wajar dilihat dan diiktiraf sebagai sebuah institusi penting yang menjalankan fungsi CHECK AND BALANCE (semak dan imbang) bagi pihak Kerajaan.

 

21. Setiap fungsi dan mandat yang telah diperuntukkan kepada EAIC melalui perundangan yang sedia ada adalah amat penting untuk membantu Kerajaan menambahbaik mutu tadbir urus, akauntabiliti dan integriti institusi penguatkuasaan di negara ini.

 

22. Akhir kata, saya menyeru dan memohon kepada hadirin semua, agar sama-sama memberikan sokongan kepada EAIC untuk kita merealisasikan segala usaha dan aspirasi Kerajaan pada masa hadapan ke arah membanteras salah laku pegawai penguat kuasa, sekaligus memurnikan hasrat EAIC untuk meningkatkan mutu integriti agensi penguatkuasaan di negara ini.

 

23. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program ERAT Ride EAIC, Penguat Kuasa & Masyarakat.

 

Wabilla hitaufik walhidayah wassalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.