DATUK SERI DR. YUSOF ISMAIL dilahirkan pada 14 Mei 1962 di Terengganu. Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, B.EC (Kepujian) dari Universiti Malaya (1985), Diploma Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN) (1988), Diploma Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1991), Ijazah Sarjana (Development of Economic) Kolej Williams, Amerika Syarikat (1997) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Putra Malaysia (2011).
Datuk Seri Dr. Yusof Ismail berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam menerusi pelantikan sebagai Setiausaha Bahagian di Kementerian Kewangan (2018) dan Timbalan Ketua Pengarah di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) seterusnya dilantik sebagai Ketua Pengarah MAMPU (2020 sehingga 2023).
Sepanjang perkhidmatan, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail telah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W.), Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z.) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.).
Datuk Seri Dr. Yusof Ismail telah diperkenankan pelantikan sebagai Pesuruhjaya EAIC oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024 untuk tempoh tiga tahun.