Baca keluh-kesah ini:

HARI Selasa semalam saya ke Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) di Putrajaya bagi mendapatkan surat untuk mengelakkan pembayaran denda lewat daripada pemaju.
Menurut pemaju saya perlu mengemukakan surat ini kepada mereka sebelum kunci rumah dapat dikeluarkan. Seorang sahabat memberitahu, berdasarkan pengalaman untuk mendapatkan surat itu kita pergi ke kaunter BPP dan kemudian ke tingkat lain berjumpa pegawai yang akan mengeluarkan surat tersebut.
Menurut sahabat saya, surat itu adalah surat standard dan akan dikeluarkan dalam masa sehari sahaja. Tapi dia mengingatkan saya, bersedialah berurusan dengan bahagian kaunter  yang mungkin akan menjengkelkan.
Saya hanya mengangguk dan bertawakal.
Sebelum pergi, suami saya berkali-kali mengingatkan saya telefon dahulu sebelum pergi ke BPP itu. Bermulalah mimpi ngeri saya.
Berkali-kali saya menelefon, dijawab oleh mesin “anda akan dilayan sebentar lagi” sampai terputus panggilan.
Dicuba berkali-kali, pun sama. Fed up dengan panggilan yang tidak boleh lepas, saya pun memandu dari Shah Alam ke Putrajaya.
Sampai di kaunter, tiada pula penyambut tamu atau receptionist  menyebabkan saya terpaksa ke kaunter lain untuk bertanya. Nasib baik,  orang tak ramai, nombor saya di kaunter 5. Bila dipanggil sekitar 12 tengah hari, ada dua orang kerani di situ.
Saya dilayan baik, diminta menulis surat permohonan menyatakan untuk dikecualikan bayaran faedah.
Beliau menyatakan surat  boleh disediakan dengan tulisan tangan. Apabila selesai menulis, saya pun menghantar surat itu ke kaunter 5, kali ini pegawai kaunter orang lain. Mungkin bertukar giliran.
Puan di kaunter itu, apabila dihulur surat itu dengan kurang mesra berkata, dia memerlukan dokumen daripada pemaju. Oleh kerana saya membawa dokumen asal, maka saya terpaksa pergi ke satu bangunan lain dengan melintas jalan untuk membuat salinan. Saya kembali kepada beliau. Apabila saya bertanya bila surat itu boleh dikeluarkan, dengan muka yang “tidak mesra” pegawai kaunter wanita itu menjawab “21 hari bekerja”.
Terkejut saya, dan saya bertanya bolehkah berjumpa dengan pegawai di tingkat atas.
Dengan nada seperti tidak suka, dia menjawab “tidak boleh”. Saya bertanya, takkan 21 hari untuk ‘standard letter’ tapi pertanyaan saya seperti tidak dilayan.
Ditanya  mengapa kawan saya dan pemaju kata boleh dapat surat itu dalam masa sehari sahaja dia menjawab “oh itu dulu...”
Saya bertanya dalam diri sahaja, jika dulu surat boleh dikeluarkan dalam masa sehari bermakna tahap kecekapan BPP kini sudah merosot apabila kakitangannya sendiri berkata “sekarang 21 hari!” Bila saya keluar, dan kebetulan ada pegawai lelaki di kaunter pertanyaan, saya pun bertanya kenal tak nama pegawai ini (saya nyatakan nama pegawai yang akan mengeluarkan surat sebagaimana diberitahu oleh pegawai kaunter 5 itu), dia dengan nada kurang mesra menyatakan tak kenal.
Saya hairan mengapa saya diperlakukan begitu? Takkan dia tak kenal pegawainya sendiri? Jika tak kenal, mengapa ada slip yang dikepilkan kepada saya supaya menghubungi Encik Rozaini dan Encik Aizwan?
Dia tak kenal?
Pelajaran yang saya dapat pada hari itu ialah, nilai-nilai murni, cekap dan mentaliti kakitangan kerajaan (bukan semua) masih tidak banyak berubah.
Walaupun pelbagai slogan dan piagam diperkenalkan oleh kerajaan, ia masih tidak berubah. Bangunan tersergam indah dan gagah di Putrajaya tidak menggambarkan kegagahan dan kehebatan warga di dalamnya.
Kasihan kepada mana-mana kakitangan kerajaan seperti saya yang datang dari jauh, tapi mendapat perkhidmatan setaraf itu. Walaupun segelintir sahaja bersifat begitu tapi bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Kesimpulan daripada Cuit, jika keadaan ini berterusan maka lama lagilah kita akan menjadi negara maju. Revolusi mental harus diterapkan supaya keluar daripada kepompong pemikiran sekarang, kepada yang lebih profesional.
Mungkin sasaran negara maju 2020 perlu diunjur kepada 2050. Lama lagi...

Mengapa Palestin terus ditindas?

APALAH nasib orang Palestin di bumi sendiri. Tanah-tanah mereka cukup berharga buat pendatang haram Yahudi.
Rejim Israel sengaja buat tak nampak apabila sekumpulan pendatang haram Yahudi menyerang kawasan perumahan orang Pa­lestin dengan membaling batu ke arah rumah milik mereka. Satu tindakan gangguan psikologi bagi menghalau mereka secara sistematik. Mereka terlalu inginkan tanah itu. Mereka mahu merampasnya. Menurut laporan Web PressTv.ir kejadian ini berlaku di Wadi al-Hussein, Wadi al-Nasara dan al-Nasara yang terletak di Bandar al-Khalil, Hebron. Utusan menyiarkan berita itu di muka Luar Negara semalam.
Kasihan sungguh mereka. Pendatang haram Yahudi turut membaling batu,  botol dan tin-tin kosong ke arah rumah penduduk Palestin berhampiran kawasan penempatan haram Yahudi di Kiryat Arba. Penduduk Palestin hidup dalam ketakutan. Nasib mereka sentiasa  di hujung tanduk. Dunia juga tidak mempedulikan mereka. Siapa berani bersuara? Mereka pun ada masalah  domestik yang  perlu ditangani.
Dalam satu berita lain agensi berita asing menyiarkan seorang  gadis Palestin  16 tahun ditembak mati kerana cuba menikam orang Israel. Entah benar atau  tidak perbuatan  gadis  sunti  itu. Rejim  Israel  boleh  buat  macam-macam dan menyalahkan  orang lain. Israel amat seronok kerana dunia sedang  membenci masyarakat  Islam ekoran  kejadian  serangan  di  Paris. Oleh itu jika sesiapa pun yang memperlakukan apa-apa pun terhadap orang Islam lain, maka tiada siapa pun yang bersimpati.
Oleh itu, apa yang saya cuba sampaikan ialah jika semua  umat Islam  bersatu  dan kita kuat  sebagai ummah maka kita akan dihormati. Kita sedar bahawa  ada orang yang tidak mahu melihat  kita  bersatu, tetapi dengan kesedaran yang tinggi sahaja kesatuan itu boleh berlaku.
Jangan asyik salahkan orang lain, salahkan diri kita sendiri jika kita tidak bersatu. Renungkanlah juga kepada suasana di negara  ini. Jika kita bersatu, orang akan hormatkan kita.
Jika kita berpecah yang majoriti pun akan menjadi minoriti.
Sebagaimana rakyat Palestin, jangan ingat  keadaan sama tidak boleh berlaku kepada kita.
Jika berlaku maka menangis air mata darah sekalipun nasi sudah menjadi bubur.

Melayu dan dadah...

SAYA cukup sedih membaca akhbar Utusan Malaysia seksyen Kota memaparkan berita sebanyak 27 projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) menjadi sarang penagih dadah.
Yang pasti rata-rata penagih itu anak-anak Melayu.
Sampai bila gejala ini akan berterusan? Mengapa mereka ini  terjebak dalam  gejala itu? Mengapa tiada program belia seumpamanya yang boleh mengaktifkan mereka dalam kegiatan yang lebih bermanfaat?
Jika budak-budak kita menjadi penagih atau mat rempit, siapa yang salah? Adakah itu sudah menjadi suratan atau sudah ditakdirkan? Di mana Belia 4B yang pernah aktif di kawasan-kawasan perumahan seperti itu? Mana dia GPMS yang sepatutnya menyediakan kelas-kelas tuisyen kepada anak-anak sekolah?
Mana dia MAYC yang asyik berebut jawatan setiap kali tibanya pemilihan? Mana dia kegiatan surau-surau? Mana dia Pemadam yang kononnya gah membuat persidangan antarabangsa mengenai dadah baru-baru ini? Mana dia pengawasan AADK? Mana dia DBKL? Janganlah asyik bagi alasan tiada bajet.
Mengapa mereka hanya mahu menjalankan kerjasama memben­dung apabila masalah sosial itu sudah pun berlaku?
Itulah kita. Sudah terantuk baru terngadah.
Kasihan anak bangsaku...

Sumber : Utusan Online