PERMATANG PAUH 19 Nov. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa memantau kemasukan barangan berbahaya yang boleh digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menggalakkan keganasan melalui kerjasama dengan pihak Bea dan Cukai Republik Indonesia (BCRI).

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Khazali Ahmad berkata, pihaknya bekerja rapat dengan pasukan keselamatan lain di negara ini bagi membanteras kegiatan itu dengan menyediakan profil pengimport barangan yang berpotensi digunakan sebagai bahan letupan.

Menurutnya, antara aspek yang diberi perhatian adalah jumlah barangan yang dibawa masuk serta tujuan pengimport membawa masuk barangan itu ke negara ini.

“Antara barangan yang dipantau adalah bahan-bahan kimia yang bukan sahaja untuk kegunaan industri tetapi juga yang berpotensi dijadikan bahan senjata pengganas.

“Jika penyeludupan barangan berbahaya ini berjaya dikekang, pastinya kita mampu menghalang aktiviti keganasan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara jiran lain seperti Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penutupan Operasi Patroli Koordinasi Kastam Indonesia Malaysia atau Patkor Kastima di Kompleks Kastam Seberang Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah BCRI, Heru Pambudi.

Patkor Kastima siri 21B yang bermula sejak 6 November lalu adalah satu agenda pertukaran maklumat mengenai taktik terkini penyeludupan serta membanteras kegiatan itu terutama di selat Melaka.

Operasi tersebut telah dimulakan sejak 1994 dan disifatkan sangat relevan bagi memenuhi pendekatan bersama kedua-dua pihak bagi menangani kegiatan penyeludupan.

Tambah Khazali, melalui operasi berkenaan, kepakaran kedua-dua negara dapat digembleng untuk membanteras aktiviti keganasan dan radikal kerana kedua-dua negara harus lebih kreatif disebabkan tugas kastam bukan lagi bersifat tradisional untuk mengutip cukai semata-mata tetapi lebih daripada itu.

Sementara itu, Heru berkata, sejak 21 tahun lalu, Patkor Kastima adalah satu platform bagi membanteras ancaman baharu melalui pertukaran maklumat, pengalaman, penambahbaikan aktiviti penguatkuasaan serta risikan antara kedua-dua negara.
“Selain pertukaran data, kedua-dua negara juga bersama-sama melakukan analisa berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku sebelum melakukan penguatkuasaan bersama.

“Kita turut memberi perhatian kepada isu penyeludupan manusia yang juga menjadi cabaran utama antara Malaysia dan Indonesia kerana jarak antara kedua-dua negara yang dekat memudahkan penyeludup bergerak,” ujarnya.

Jelasnya, operasi bersama itu mampu menyiapkan pasukan kedua-dua pihak untuk bertindak ketika keadaan memerlukan dan memastikan perairan kedua-dua negara sentiasa selamat.

Sumber : Utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.