KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes kematian N.Dharmendran di dalam lokap polis, ditukarkan kerana kes itu menjadi tumpuan umum dan memerlukan siasatan menyeluruh oleh pegawai lebih berpengalaman.

Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Inspektor Kamaruzaman Endut memberitahu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bahawa beliau dimaklumkan mengenai pertukarannya itu pada petang 21 Mei 2013, selepas Dharmendran dilaporkan meninggal dunia di dalam lokap.

Beliau berkata Pegawai Penyiasat Kanan IPD Dang Wangi ASP Kamarul Rizal Jenal mengambil alih kes itu daripadanya.

"Pertukaran IO (pegawai penyiasat) disebabkan kes itu mendapat perhatian, memerlukan pegawai penyiasat kanan untuk mengambil alih kes itu dengan mereka mempunyai skop penyiasatan lebih untuk meneruskan siasatan lanjut," katanya di Bilik Pendengaran EAIC di Menara TH Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-47 pada sesi ketiga pendengaran awam EAIC berhubung kematian Dharmendran semasa dalam tahanan pada 2013.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei 2013 ketika di dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL). Dia ditahan berhubung siasatan kes cubaan membunuh dua individu dengan senjata api.

Kamaruzaman, yang telah berkhidmat selama 20 tahun dalam perkhidmatan polis, adalah pegawai penyiasat pertama yang hadir ke lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK KL selepas dimaklumkan mengenai kematian Dharmendran.

Beliau bertanggungjawab mengarahkan jurugambar merakam gambar lokasi dan mayat Dharmendran pada hari kejadian serta membawa mayatnya ke bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Saya arahkan jurugambar rakam gambar laluan ke lokap, pintu lokap, gambar gazet lokap, gambar keseluruhan sel dan gambar si mati (Dharmendran). Itu sahaja saya arahkan sementara menunggu Majistret Koroner datang," katanya.

Beliau turut mengarahkan jurugambar merakam lagi gambar mayat Dharmendran ketika Majistret Koroner membuat pemeriksaan sebelum dibenarkan membawa mayatnya ke HKL untuk dibedah siasat.

Beliau menyerahkan tugas siasatan selanjutnya kepada Kamarul Rizal selepas selesai mendaftarkan Dharmendran untuk bedah siasat dan mengenal pasti doktor yang akan melakukan prosedur itu terhadap Dharmendran.

Perbicaraan bersambung ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

-- BERNAMA

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.