KUBANG PASU 17 Sept. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) bakal dinaik tarafkan menjadi sebuah jabatan dengan nama baharu Agensi Keselamatan Sempadan dalam usaha memerangi jenayah di sempadan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kertas dasar cadangan tersebut telah disediakan dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

“Sebaik sahaja semua proses itu selesai, UPP akan dikenali sebagai entiti baharu iaitu Agensi Ke­selamatan Sempadan.

“Sebagai entiti baharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen dan Jabatan Kastam menjadi teras serta beberapa agensi lain yang mungkin akan turut dilibatkan dalam penguatkuasaan sebagai nilai tambah,” katanya ketika merasmikan Seminar Keselamatan dan Pengurusan Sempadan Malaysia-Thailand 2015 di Dewan Muadzam Shah Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa langkah tersebut tidak akan melibatkan peruntukan yang besar dan jawatan yang banyak sebaliknya usaha memperkasakan agensi berkenaan dengan pencapaiannya.

“Saya tidak mahu apabila ada agensi yang dinaik taraf, banyaklah jawatan dan peruntukan. Kita akan lipatgandakan pencapaian.

“Yakinilah, apabila rampasan barangan, soal penyeludupan dan pemerdagangan manusia dikurangkan, adalah imbuhan yang saya akan berikan kepada pegawainya. Ini janji saya,” katanya.

Katanya, kerajaan komited dalam usaha memperkukuhkan keselamatan dan pengurusan sempadan termasuk berkaitan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Pendekatan Strategi Lautan Biru harus diperkasakan supaya kita tidak berada dalam kepompong. Saya seru apabila sempadan dibolosi, barangan bersubsidi dan pendapatan negara mengikut unjuran telah kerugian RM7 bilion setiap tahun.

“Apabila kita telah berjaya mengekang aktiviti haram ini maka kerugian besar daripada ketirisan pendapatan mengalir keluar dapat dikurangkan, “ kata Ahmad Zahid.

Jelas beliau, berdasarkan statistik UPP terdapat peningkatan dalam jumlah rampasan barangan iaitu sebanyak RM17 juta pada 2013 kepada RM18 juta manakala sehingga Ogos tahun ini sebanyak RM38 juta.

“Kita lihat keberhasilan daripada penguatkuasaan meningkat dan UPP telah melakukan peningkatan rampasan daripada 2013. Namun saya tak puas hati sebab banyak lagi yang harus dilakukan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga melihat pendekatan holistik termasuk berkaitan integriti, bukan hanya soal pengurusan sempadan dalam usaha memerangi jenayah di sempadan.

Sumber : utusan Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.