Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diberitahu N Dharmendran, tahanan yang mati di dalam lokap polis 2 tahun lepas, sukar memberikan kerjasama semasa siasatan polis.

Koperal Mohd Nahar Abdul Rahman dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) berkata pihak polis terpaksa menggunakan pendekatan psikologi bagi mendapatkan kerjasama dan maklumat daripada Dharmendran.

"Ya, Inspektor S Hare Krishnan, pegawai yang terlibat menyoal siasat Dharmendran, ada cara 'psycho' untuk mendapatkan kerjasama Dharmendran. Dia perlu di 'psycho' tetapi bukan menggunakan kekerasan (fizikal)," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-43 pada pendengaran awam EAIC berhubung kematian Dharmendran semasa dalam tahanan.

Prosiding itu, yang bermula pada 27 Julai lepas, diadakan di Bilik Pendengaran, Menara TH Perdana di Kuala Lumpur.

Dharmendran ditahan pada 11 Mei 2013 dan meninggal dunia pada 21 Mei 2013 ketika di dalam tahanan di IPK KL. Dharmendran ditahan berhubung siasatan kes cubaan membunuh dua individu dengan senjata api.

Ketika ditanya Pesuruhjaya EAIC Datuk Yaacob Md Sam, saksi itu bersetuju bahawa polis menggunakan pendekatan psikologi kerana Dharmendran bukan seorang individu yang secara sukarela mahu memberikan maklumat.

Mohd Nahar juga berkata bahawa beliau dan rakan setugasnya dari D9, Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari bertanggungjawab dalam penangkapan semula Dharmendran selepas remannya tamat pada 21 Mei 2013.

"Saya keluarkan Dharmendran dari dalam lokap, ketika itu saya bersama Haswadi. Haswadi beritahu Dharmendran bahawa dia akan dibebaskan dan ditangkap semula," katanya.

Selepas remannya tamat, katanya Dharmendran dibawa ke kaunter inkuiri pejabat D9 dan tangkapan semula juga dibuat di hadapan kaunter sama.

Seorang lagi saksi, Inspektor S. Hare Krishnan iaitu pegawai yang mengetuai siasatan kes Dharmendran, menjelaskan mengapa isteri Dharmendran hanya dibenarkan bertemu suaminya selepas seminggu ditahan di IPK KL.

Hare Krishnan berkata beliau khuatir pertemuan itu akan menjejaskan siasatan dan kemungkinan isteri atau anggota keluarga mempunyai hubungan dengan suspek yang masih bebas.

"Kes ini kes berat. Isteri (kemungkinan) boleh menjadi orang perantaraan antara suspek-suspek yang masih bebas. Kita kena urus masa (yang sesuai) baru bagi (benarkan) isteri atau sesiapa datang melawat," katanya.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama, 17 September, 2015.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.