Peguam memberitahu, polis atau JPJ tidak boleh memaksa pemilik kenderaan menjelaskan saman dikeluarkan AES dan boleh membawanya ke mahkamah.

Agensi tak boleh nafi lesen memandu walau tak bayar saman

PETALING JAYA: Agensi penguat kuasa tidak boleh menafikan hak pemandu mendapatkan lesen hanya kerana enggan membayar saman dikeluarkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana ia tidak diperuntukkan di bawah undang-undang, kata peguam.

Mereka berkata, pengguna jalan raya hendaklah mengemukannya ke mahkamah bagi proses tindakan undang-undang.

Peguam Gurbachan Singh berkata, polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak boleh memaksa pemilik kenderaan menjelaskan saman mereka.

“Mereka perlu hadir di hadapan hakim dan pendakwa perlu membuktikan kes manakala pemandu akan diberi hak untuk didengar,” katanya.

Gurbachan berkata mahkamah biasanya akan mengenakan denda atau membatalkannya jika mereka berjaya menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan.

“Ia akan menjadi hukuman berganda ke atas pengguna jalan raya jika mereka dinafikan peluang memperbaharui lesen walaupun selepas membayar denda,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang Kabinet menetapkan RM150 sebagai bayaran saman yang dikeluarkan AES dan mereka yang enggan membayar tidak akan dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

Beliau berkata, kira-kira 1.6 juta saman AES dikeluarkan kepada pemilik kenderaan kerana memandu melebihi had laju sejak ia mula diperkenalkan pada 2012.

Pada masa ini terdapat 40 kamera AES di Lembah Klang dan Perak.

Peguam S N Nair berkata, tidak ada undang-undang sedia ada yang jelas untuk menyenarai hitam dan penafian lesen memandu kepada pengguna jalan raya.

“Menteri boleh kata apa yang disukai tetapi tidak mempunyai kuasa undang-undang,” kata beliau sambil menambah keputusan Liow boleh dicabar di mahkamah.

Nair berkata, notis yang dikeluarkan agensi-agensi penguatkuasaan hanya tawaran untuk menyelesaikan saman melalui kompaun.

“Kegagalan mematuhi saman boleh bermakna pemandu mahu menuntut perbicaraan di mahkamah,” katanya sambil menambah pihak berkuasa perlu mematuhi prosedur undang-undang untuk membawa pemandu itu ke mahkamah.

Peguam Edmund Ponniah berkata, Seksyen 17 (1) (d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan seorang pengarah hanya boleh enggan mengeluarkan lesen kenderaan motor jika berpuas hati pemohon itu mempunyai perkara atau kes dengan JPJ, polis atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

“Bagi pemahaman orang awam, lesen kenderaan bermotor itu bermakna cukai jalan. Saya tidak melihat mana-mana peruntukan berhubung penolakan lesen memandu,” katanya.

Edmund bertanya sama ada kenyataan menteri bermakna hak menuntut perbicaraan dimansuhkan.

Sumber : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.