TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan negeri Sabah awal Oktober lalu selain menemui wang tunai lebih RM100 juta yang disimpan dalam pelbagai cara memang mengejutkan.

Kedua-dua suspek yang berumur 51 dan 54 tahun itu dipercayai mengamalkan gaya hidup mewah hasil tindakan memonopoli dan memberi projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2010 kepada ahli keluarga mereka.

“Saya berasa amat sedih dan terkilan atas perlakuan mereka. Sentimen dan kemarahan orang ramai terhadap perkara tersebut sangat nyata.

“Jelaslah, mereka telah mengambil kesempatan daripada kedudukan sebagai pegawai tertinggi jabatan bagi mendapatkan faedah peribadi dengan cara yang menyalahi undang-undang.

“Perlakuan mereka umpama kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi. Pegawai-pegawai sedemikian tidak layak untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” tegas Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md. Sam.

Selain kes tersebut, banyak lagi kes lampau yang melibatkan tangkapan ke atas ketua jabatan, pengarah agensi dan pegawai tertinggi kumpulan pengurusan dan profesional melibatkan sitaan wang tunai bernilai puluhan juta ringgit selain pembekuan aset-aset oleh SPRM.

Malah jelas Yaacob, terdapat juga kementerian yang mengalami ketirisan atau kehilangan dana sehingga mencapai RM100 juta akibat perlakuan tidak amanah pegawai tertentu yang mengeksploitasi sistem di jabatan tersebut, sekali gus memperlihatkan tahap integriti mereka yang sangat rendah.

“Di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh EAIC. Kami bukan sahaja memberi pendidikan kepada kakitangan awam supaya sentiasa meningkatkan integriti semasa bertugas, malah turut melakukan siasatan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang dipercayai melanggar etika kerja masing-masing,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas mengenai EAIC, Yaacob yang dilantik sebagai Pengerusi EAIC sejak 15 Oktober 2014 memberitahu, sejarah suruhanjaya itu bermula selepas kerajaan memutuskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 dibawa dan dibentangkan di Parlimen bagi diluluskan dengan diperuntukkan kuasa sebagai badan kawal selia terhadap 21 agensi penguatkuasaan persekutuan.

Setelah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Diraja pada 19 Ogos 2009, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan telah diwartakan pada 3 September 2009 (Akta 7000). Ia kemudiannya dikuatkuasakan mulai 1 April 2011.

Salah laku

Sejak itu, EAIC beroperasi sebagai sebuah suruhanjaya bebas dengan tujuh orang Pesuruhjaya EAIC dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jelas Yaacob, fungsi utama EAIC ialah menerima aduan daripada orang awam berkaitan salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan selain melakukan siasatan serta pendengaran terhadap aduan tersebut.

Dalam melaksanakan tugas tersebut katanya, pesuruhjaya dan pegawai-pegawai EAIC diberi kuasa undang-undang. Antaranya ialah mengambil keterangan atau memeriksa saksi secara lisan atau bertulis, meminta saksi memberi keterangan secara bersumpah atau ikrar, memanggil mana-mana orang untuk memberi keterangan atau mengemukakan dokumen dalam milikannya dan mengeluarkan waran tangkap bagi memaksa kehadiran saksi.

“Sekiranya EAIC memutuskan aduan kes salah laku yang diadukan memang wujud dengan beberapa bukti melalui siasatan dan keterangan yang diperoleh, satu laporan dan dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib agensi berkaitan dengan syor tindakan yang perlu diambil terhadap pegawai penguat kuasa yang terlibat.

“Namun, sekiranya siasatan mendapati pegawai penguat kuasa terlibat telah melakukan kesalahan jenayah, maka EAIC akan menyerahkan laporan dan kertas siasatan berserta syor tindakan pendakwaan jenayah supaya diambil oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan dan kehakiman di negara ini.

Penambahbaikan

Sebagai Pengerusi EAIC, Yaacob mempunyai iltizam untuk meningkatkan integriti semua kakitangan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan suruhanjaya itu.

Yaacob memberitahu, terdapat dua kaedah yang dilaksanakan oleh EAIC untuk kes siasatan iaitu pertama, melibatkan kes-kes yang diasaskan daripada aduan orang ramai mengikut Seksyen 23 atau 24 akta 700.

Kedua, kes-kes siasatan yang dilakukan secara inisiatif sendiri EAIC tanpa aduan daripada mana-mana pihak dan dilakukan di bawah Seksyen 28 Akta 700.

Mengenai kumpulan sasaran yang menjadi fokus EAIC pula, ia terbahagi kepada tiga iaitu orang awam, pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan itu sendiri.

Bagi orang awam katanya, mereka merupakan golongan yang menjadi sumber suruhanjaya itu untuk mendapatkan aduan dan makluman berkaitan salah laku pegawai penguatkuasa serta agensi penguatkuasaan. Aduan diterima menerusi pelbagai saluran sama ada surat, e-mel, secara lisan menerusi telefon, kaunter aduan atau web www.eaic.gov.my.

Bagi pegawai penguat kuasa pula, EAIC akan memastikan setiap daripada mereka mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) melalui sesi dialog dan pertemuan dengan wakil setiap agensi selain wakil kesatuan sekerja dan pegawai penguat kuasa itu sendiri.

“Bagi kumpulan ketiga iaitu agensi penguatkuasaan, EAIC akan mengadakan dialog peringkat tertinggi dengan ketua jabatan atau agensi bagi membincangkan perkara-perkara dasar atau polisi berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan isu-isu integriti.

“Dalam pertemuan tersebut, EAIC akan memberikan cadangan penambahbaikan SOP dan sistem kerja terhadap jabatan dan agensi yang terlibat,” katanya.

Suruhanjaya itu juga turut mengambil pendekatan melaksanakan kempen turun padang bagi mendekati masyarakat menerusi program EAIC dan Anda selain mengadakan pameran-pameran di tempat awam dan iklan korporat menerusi rangkaian televisyen.

Seperti kebanyakan agensi dan jabatan kerajaan, EAIC juga tidak terlepas daripada menghadapi kekangan kekurangan tenaga kerja atau pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terutama pada awal penubuhan suruhanjaya itu, antara tahun 2011 hingga 2013.

Kekurangan tenaga kerja itu katanya telah menyebabkan tugas-tugas siasatan ke atas aduan yang diterima pada masa itu lewat untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, selepas Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan penambahan jawatan pelbagai gred pada tahun 2013, EAIC perjawatan di dalam EAIC telah meningkat kepada 49 dengan 43 daripadanya telah diisi.

Sehingga kini, terdapat 25 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional telah berkhidmat dengan EAIC. Daripada jumlah itu, 19 merupakan pegawai undang-undang serta penguamcara dan peguambela yang pernah berkhidmat sebelum ini.

Selain itu, terdapat juga pegawai pinjaman daripada Jabatan Peguam Negara dan SPRM bagi melonjakkan keupayaan EAIC dalam melaksanakan tugas dengan cepat, bermutu dan efektif.

Ia terbukti apabila lebih daripada 90 kes aduan yang diterima EAIC pada tahun 2015 berjaya diselesaikan selain tiada lagi kes-kes tertunggak berdasarkan aduan yang diterima sebelum tahun 2013.

Kini jelas Yaacob, tanggungjawab EAIC menjadi semakin berat kerana di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, kerajaan telah mengenalpasti suruhanjaya itu bersama SPRM sebagai dua badan yang diberi tanggungjawab mengukuhkan integriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan.

Justeru katanya, EAIC perlu mengekalkan kredibiliti dan keyakinan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan sendiri yang melibat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan yang mampu menjalankan tugas dengan efektif dan bebas.

Sumber : Kosmo Online
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.