PONTIAN - Orang ramai diminta lebih hati-hati dengan sebarang panggilan menawarkan pinjaman dan seterusnya tidak memberikan akaun peribadi kepada mana-mana pihak kerana tindakan itu hanya akan membawa kepada penipuan.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, pihaknya bimbang melihat kepada gejala penipuan menggunakan nama Bank Negara, yang menawarkan sejumlah wang hanya menggunakan panggilan telefon semakin berleluasa.

Menurutnya, penipuan melalui urusan pinjaman wang dengan menggunakan nama Bank Negara merupakan anasir jenayah yang memerlukan orang awam lebih berhati-hati, supaya tidak mudah termakan dengan janji manis yang ditawarkan.

“Seorang wanita yang menjadi mangsa penipuan pinjaman wang ini telah tampil berkongsi kisah dia diugut. Wanita mahu membuat pinjaman peribadi untuk ubahsuai kediaman tetapi telah ditipu sebanyak RM13, 690.

“Peminjam turut diminta buat bayaran seperti deposit, insurans dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Mereka juga menyalahgunakan nama Bank Negara untuk memperdayakan mangsa supaya mempercayai urusan yang bakal di buat kelak,” katanya.

Tambahnya lagi, apabila mangsa enggan memasukkan duit, mereka diugut membayar pampasan, sekiranya enggan bekerjasamanya, mangsa pula akan didakwa dengan peguam.

“Kes penipuan dengan cara memberikan pinjaman semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini dan telah mendapat perhatian dari Bank Negara.

“Bank Negara telah mengeluarkan kenyataan meminta orang awam berwaspada terhadap kegiatan ini.

“Menerusi notis dikeluarkan dalam laman web rasminya, Bank Negara menegaskan pihaknya tidak akan menghubungi atau mengarahkan sesiapa sahaja untuk memasukkan wang ke dalam apa-apa akaun,” katanya.

Sehubungan dengan itu orang awam disarankan tidak sesekali meminjamkan akaun peribadi mereka kepada mana-mana pihak kerana ia akan menjerat mereka dalam kes penipuan.

source : Sinar Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.