Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, operasi oleh Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan negeri itu adalah hasil aduan awam dan siasatan sejak awal tahun ini bagi mengesan modus operandi kilang tersebut.

Beliau berkata, setiap botol 60 mililiter produk yang dijual RM180 seunit di praasaran itu cuba mempengaruhi orang ramai dengan dakwaan mampu merawat penyakit kencing manis, membaiki pankreas, menurunkan bacaan gula dan memulihkan tisu buah pinggang.

“Kita kesal kerana ia membuat tuntutan perubatan dan kesihatan yang tidak munasabah dan mengelirukan pengguna sedangkan sebarang tuntutan kesihatan perlu disertakan dengan bukti saintifik jelas yang telah disemak pihak jabatan dan pakar perubatan.

“Produk ini bukan sahaja tidak berdaftar malah memapar dan menyalahgunakan logo Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTI) yang sebenarnya dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk produk makanan dan bukannya ubat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.