LUMUT - Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, hari ini menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menghadapi pertuduhan mencederakan rakan sekerja, bulan lalu.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan beberapa dokumen lain.

Empat tertuduh ialah Mohd Izhrifikri Roslee,29; Hamzah Zakaria @ Ali,35; Mohd Farid Musa,32; dan Saifulnizam Razaly,37, masing-masing merupakan Laskar Kanan TLDM  menghadapi pertuduhan berasingan.

Mohd Izhrifikri didakwa atas enam pertuduhan mencederakan Mohd Farhan Md Said,30, dan Mohd Syaiful Nizam Mardzuki,30 dengan memukul tapak kaki mereka di bilik tahanan TLDM unit Sungai Wangi, Sitiawan di sini, pada 12 September hingga 23 September lepas.

Dia juga didakwa melakukan dua ugutan jenayah terhadap Mohd Farhan dan Mohd Syaiful Nizam dengan mengatakan akan membelasah mereka sehingga mati dan anggota keluarga akan diancam jika memberikan kenyataan kepada polis di bilik tahanan sama antara 2 petang hingga 3 petang pada 29 September lepas.

Sementara itu, Hamzah dan Saifulnizam masing-masing didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Farhan.

Mereka didakwa secara berasingan melakukan perbuatan itu di Padang Kawad Bilik Tahanan antara pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, 13 September lepas.

Mohd Farid pula didakwa mencederakan Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di Pejabat Pengawal di bilik sama pada 12.30 malam 28 September lepas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim, manakala Mohd Izhrifikri diwakili peguam Mohamad Farhan Ahmad Fadzil; Mohd Farid oleh peguam S. Dharmanathan, Hamzah oleh peguam Saranjit Singh manakala Saifulnizam tidak diwakili peguam.

source : Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.