KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa orang ramai mempertahankan kesederhanaan dan rasa hormat terhadap pihak lain kerana pandangan melampau berhubung agama boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang agama.

Beliau berkata Malaysia memilih untuk  mengamalkan kesederhanaan dan ini harus dipertahankan pada sepanjang masa.

“Meluahkan pandangan melampau peribadi mengenai agama secara terbuka akan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama.

“Kita bukan hidup dalam keterasingan dan kita perlu menghormati satu sama lain,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Ala-Malaysia yang dihoskan Tan Sri K. Kenneth Eswaran di Pusat Konvensyen HGH, dekat sini hari ini.

Beliau berkata kesederhanaan merupakan pendekatan terbaik untuk negara bermasyarakat majmuk bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian sedia ada.

Salleh berkata keamanan dan keharmonian sedia ada  tercapai menerusi kesederhanaan yang diamalkan oleh rakyat Malaysia yang tidak menyokong ekstremisme dan pelanggaran undang-undang.

“Populasi Malaysia terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan ramuan paling sesuai bagi mengekalkan  keharmonian, toleransi dan keamanan ini adalah melalui kesederhanaan.

“Pendekatan kesederhanaan boleh mendidik kita untuk berfikir secara rasional dan bertindak bijak,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa rakyat Malaysia untuk mempertahankan perpaduan dan menolak sebarang usaha pihak tertentu yang cuba menanam perasaan benci dengan menggunakan agama dan bangsa sebagai isu untuk memecahbelahkan rakyat.

source : -  Sinar Harian

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.