Tertuduh didakwa telah melakukan kesemua kesalahan tersebut terhadap dua tahanan iaitu Laskar Kelas 1 Mohd. Farhan Md. Said, 30 dan Laskar Kelas 1 Mohd. Syaiful Nizam Mardzuki, 30.

Mohd. Izhrifikri mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan itu ketika pertuduhan berkenaan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, Mohd. Izhrifikri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohd. Farhan dengan memukul tapak kaki mangsa antara pukul 8 malam 12 September hingga 12 tengah hari 14 September lalu di padang kawat Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan

Tertuduh juga turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas Mohd. Syaiful Nizam dengan memukul tapak kaki mangsa antara pukul 10 pagi 21 September hingga 12 tengah hari 23 September lalu di tempat sama.

Keenam-enam pertuduhan tersebut dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Harris Ong Jeffry Ong mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Izhrifikri juga didakwa atas dua pertuduhan menakutkan secara jenayah kedua-dua mangsa dengan menyatakan mangsa akan dibelasah sehingga mati selain ahli keluarga mangsa diancam sekiranya memberi kenyataan yang benar kepada pihak polis.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara pukul 2 hingga 3 petang 29 September lalu di lorong hadapan sel nombor 7, dan sel nombor 4 di Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan

Bagi kesalahan ini, Mohd. Izhrifikri didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain Mohd.Izhrifikri, turut didakwa hari ini tiga lagi rakannya, Hamzah Zakaria@Ali, 35; Mohd. Farham Mohd. Azmi, 31 dan Saifulnizam Razaly, 37, masing-masing atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Mohd. Farhan.

Hamzah dan Saifulnizam mengaku tidak bersalah manakala Mohd. Farham mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.