KLUANG - Kerajaan memberi tempoh 30 hari kepada pemohon kad pengenalan yang masih belum menuntut dokumen pengenalan diri mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menuntutnya sebelum ia dilupuskan.

Berdasarkan rekod JPN, sebanyak 106,000 kad pengenalan masih belum dituntut oleh pemiliknya sehingga tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan berkata, kementerian memandang serius jumlah MyKad yang masih belum dituntut itu dan tindakan akan diambil berikutan telah terlalu lama menyimpannya.

Katanya, keputusan untuk melupuskan 106,000 MyKad yang tidak dituntut itu diputuskan dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, semalam.

"Kerajaan beri tempoh 30 hari atau sebulan kepada 106,000 pemohon MyKad berkenaan yang masih tidak menuntut kad pengenalan mereka untuk berbuat demikian sebelum ia dilupuskan sepenuhnya selepas tamat tempoh itu.

"Tindakan tegas ini terpaksa diambil bagi mengelakkan berlakunya pelbagai masalah berkaitan undang-undang negara selain bimbang berlakunya kecurian identiti yang akan memberi masalah lebih besar.

"Apa yang saya boleh katakan, semuanya terletak pada sikap individu itu sendiri sama ada mereka ambil berat atau tidak kepentingan dokumen pengenalan diri berkenaan dan nampaknya mereka ambil mudah sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)  Cawangan Simpang Renggam di Taman Indah,  dekat sini,  hari ini.

Yang turut hadir,Pengarah JPN Johor,Rokiah Hanum Ibrahim dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng.

source : Sinar Online

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Aras 5, Blok Menara
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Presint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am TALIAN AM+603-8880 5650

faks FAKS+603-8880 5646

emel E-MEL Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.