TEKS UCAPAN SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BIL 1/2026
TARIKH: 6 JANUARI 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Dihormati Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham, Yang Berbahagia barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Setiausaha EAIC, Puan Asliza Ali. Barisan Pengarah-Pengarah Bahagian serta seluruh warga kerja EAIC yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita telah melangkah ke tahun baharu 2026 dengan azam dan iltizam yang baharu. Tahun ini membuka satu lembaran baharu untuk kita terus memperkukuh peranan EAIC sebagai sebuah institusi yang berwibawa, bebas dan diyakini rakyat.
Menyingkap kembali perjalanan EAIC sepanjang tahun 2025, banyak pencapaian penting telah berjaya direalisasikan hasil komitmen dan kerjasama semua pihak. Antara pencapaian utama ialah penubuhan beberapa Pasukan Petugas bagi menyiasat isu-isu berprofil tinggi yang menjadi perhatian awam, antaranya:
i) penubuhan Pasukan Petugas Khas Kematian Dalam Tahanan bagi meneliti isu-isu berkaitan hak asasi dan tatakelola penguatkuasaan;
ii) Pasukan Petugas kes E-Waste Port Klang berhubung aduan salah laku dalam kelulusan pelepasan kontena-kontena yang dipercayai mengandungi e-waste oleh Jabatan Alam Sekitar;
iii) Pasukan Petugas kes E-Waste Segamat berkaitan tindakan Jabatan Alam Sekitar terhadap operasi kilang kitar semula tanpa lesen yang sah serta pelanggaran syarat lesen e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor;
iv) penubuhan Pasukan Petugas EAIC ke atas Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan ketidakaturan dalam pengeluaran Pas Lawatan Sosial bagi kategori Visa Rawatan; dan
v) Pasukan Petugas berhubung siasatan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara mengenai pengesahan dokumen pengenalan serta pematuhan Prosedur Operasi Standard dalam proses kewarganegaraan yang melibatkan tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Kesemua inisiatif ini mencerminkan kesungguhan EAIC dalam menangani aduan secara telus, berfakta dan berlandaskan prinsip keadilan demi memelihara kepentingan awam.
Selain itu, EAIC juga telah melaksanakan penjenamaan semula dengan memperkenalkan logo baharu yang lebih moden dan relevan. Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi mencerminkan tekad EAIC untuk terus memperkukuh peranannya sebagai badan pemantau bebas yang berintegriti dan telus, selaras dengan mandat di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Pada tahun yang sama, EAIC turut menerima beberapa kunjungan diplomatik daripada Guizhou Procuratorate, Jiangxi Discipline Inspection serta Danish Ombudsman. Kunjungan-kunjungan ini membuka ruang pertukaran pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang integriti dan tadbir urus.
Pelbagai program turut telah dilaksanakan oleh warga kerja EAIC bagi memperkenalkan peranan dan fungsi EAIC kepada masyarakat. Di samping itu, pelbagai latihan dalaman telah dijalankan secara berterusan bagi memantapkan kemahiran pegawai-pegawai EAIC dalam melaksanakan tugas harian dengan lebih cekap dan berkesan.
Kita juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasan, antaranya kesukaran mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi berkaitan, kekangan akibat kekurangan kakitangan dalam melaksanakan tugasan serta cabaran bebanan kerja yang semakin meningkat.
Memasuki tahun 2026, EAIC akan terus mengorak langkah ke hadapan, selari dengan usaha penubuhan Ombudsman Malaysia yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini. Penubuhan Ombudsman Malaysia kelak diyakini akan memperkukuh ekosistem kebertanggungjawaban serta melengkapi peranan sedia ada EAIC dalam melindungi hak dan kepentingan rakyat.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga EAIC atas dedikasi, profesionalisme dan integriti yang ditunjukkan. Marilah kita terus memperkukuh semangat kebersamaan, meningkatkan kecekapan kerja, serta kekal teguh mempertahankan nilai integriti dalam setiap amanah yang dipikul.
Akhir kata, saya mendoakan agar tahun baharu 2026 membawa kesejahteraan, kejayaan dan keberkatan kepada kita semua. Semoga EAIC terus melangkah ke hadapan sebagai institusi yang dihormati dan dipercayai demi kepentingan negara dan rakyat.
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026.
Sekian, terima kasih.