Pn_Nura.png

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menjalankan siasatan terhadap salah laku dalam agensi penguatkuasaan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada aduan orang awam.

Pegawai Undang-Undang, Bahagian Operasi EAIC, Nura Ashikin Mior Muhamad berkata, inisiatif ini bagi memastikan kepentingan awam sentiasa terpelihara serta membolehkan tindakan segera diambil terhadap sebarang ketidakpatuhan atau penyalahgunaan kuasa dalam sektor penguatkuasaan.

“Langkah ini membolehkan EAIC bertindak lebih pantas terhadap salah laku, memastikan ketelusan dalam siasatan dan mengelakkan kelewatan dalam menangani isu yang boleh memberi impak kepada sistem penguatkuasaan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, EAIC juga boleh menubuhkan Pasukan Petugas khas di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menyiasat kes yang memerlukan kuasa lebih besar, termasuk mengguna pakai peruntukan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Katanya, pasukan ini mempunyai kuasa hampir sama seperti pegawai polis, termasuk merakam keterangan saksi dan suspek, menyemak serta menyita dokumen berkaitan, menjalankan penggeledahan, serta mengambil tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan secara menyeluruh.

“Antara kes yang pernah disiasat oleh EAIC atas inisiatif sendiri ialah insiden suspek Macau Scam yang meloloskan diri dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menunjukkan keperluan siasatan terhadap aspek kecuaian dalam kawalan keselamatan,” katanya.

Selain itu, siasatan turut dijalankan terhadap isu pemindahan milik vesel nelayan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), yang dikaitkan dengan potensi penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran sektor perikanan negara.

Tambahnya, EAIC juga telah mengambil tindakan terhadap kes pelupusan sisa elektronik (e-waste) yang dikendalikan secara haram oleh kilang kitar semula tanpa kawalan Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang boleh mengancam kesihatan awam serta mencemarkan alam sekitar.

Dalam sektor imigresen, EAIC telah menjalankan siasatan terhadap pembolosan warga asing tanpa izin di Depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bidor, sekali gus membongkar kelemahan dalam kawalan keselamatan dan pengurusan depot tahanan.

Skandal visa perubatan yang melibatkan warga asing turut menarik perhatian EAIC, apabila ia didapati disalahgunakan untuk tujuan lain, yang bukan sahaja merugikan negara tetapi juga memberi kesan terhadap sistem kesihatan serta keselamatan negara.

Menurut Nura Ashikin, dalam kes-kes membabitkan salah laku serius atau jenayah berskala besar, Pasukan Petugas EAIC akan mengendalikan siasatan secara lebih mendalam bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

SUMBER : Sinar Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.