RUU IPCMC dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menetapkan supaya Rang Udang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Tetapan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebaik diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Liew Vui Keong selepas dibahas 30 wakil rakyat kerajaan serta pembangkang.

RUU IPCMC dirujuk kepada jawatankuasa terbabit bagi memperincikan lagi RUU itu termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.

Dalam pada itu, menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) berhubung kewajaran perbahasan diadakan walaupun RUU itu akhirnya dirujukan kepada jawatankuasa, Vui Keong berkata, sesi itu diadakan bagi peluang kepada Ahli Parlimen menyuarakan pendapat berhubung perkara berkenaan.

"Apabila dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen), hanya beberapa wakil rakyat yang menjadi anggota jawatankuasa dapat menyuaratkan pendapat tetapi hari ini ramai wakil rakyat dapat bersuara.

"Inilah ketelusan yang ingin dibawa kerajaan yang ada hari ini," katanya.

Terdahulu, Vui Keong membentangkan RUU terbabit untuk bacaan kali kedua dan menimbulkan kekecohan wakil rakyat pembangkang yang meminta supaya RUU IPCMC tidak dibahaskan.

Suasana dewan kecoh apabila kalangan wakil rakyat pembangkang meminta supaya urusan perbahasan RUU itu tidak menjadi sesuatu yang membuang masa.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming memberi jaminan tidak akan ada undian bagi RUU terbabit sebaliknya memberitahu Menteri berkaitan akan mengusulkan supaya ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

"Ini adalah kali pertama kerajaan mengambil inisiatif menyerahkan RUU kepada sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membincangkan RUU terbabit.

"Ini adalah selaras dengan reformasi Parlimen dan memberikan ruang dan peluang kepada ahli Yang Berhormat supaya pandangan ahli Yang Berhormat diambil kira.

"Bagaimanapun berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2), saya memberikan peluang supaya RUU ini dibahaskan tetapi tiada apa-apa yang akan diluluskan selepas itu," katanya.

Sumber : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.