PUTRAJAYA: Langkah menerima Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (LSEAIC) sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib akan memperkukuhkan proses siasatan dan keterangan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) semalam.

"Dalam masa sama, hak penjawat awam yang dituduh atau dilaporkan untuk membela diri akan tetap dipelihara untuk memberi keadilan kepada semua pihak," katanya ketika dihubungi BH.

Mohd Khairul Adib berkata, jabatan itu mempunyai banyak sumber untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap penjawat awam.

Beliau berkata, antaranya, aduan awam, laporan audit dalaman, laporan Ketua Audit Negara, kes mahkamah yang membabitkan penjawat awam dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, ada juga siasatan dijalankan berpunca daripada laporan Jawatankuasa Khas, sekiranya terdapat elemen yang memerlukan siasatan.

Ditanya jika sebelum ini LSEAIC turut diambil kira dalam siasatan serta tindakan dalaman terhadap anggota perkhidmatan awam, Mohd Khairul Adib berkata, beliau tidak ingat ada menerima sebarang laporan sedemikian daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan sebelum ini.

"Untuk laporan daripada SPRM, ada. Kes yang dirujuk oleh SPRM kepada jabatan akan disusul oleh Lembaga Tatatertib," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan berkata JKKMAR bersetuju perbincangan diadakan di antara SPRM dengan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan LSEAIC dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.

Kenyataan itu menyebut, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu, mencapai enam keputusan penting.

Sumber : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Today 63

Yesterday 384

This Week 1281

This Month 8732

Overall 11468