jkktn_2.jpg
 
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang bersidang hari ini bersetuju dengan cadangan memperkukuh kawal selia Badan Berkanun Persekutuan (BBP) melalui penggubalan akta.
 
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggubalan itu akan mencakupi perkara berkaitan pinjaman, pelaburan, penubuhan anak syarikat dan lain-lain bagi tujuan diputuskan oleh Kementerian Kewangan.
 
"Kerajaan memandang serius isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan Entiti Berkepentingan Kerajaan yang menyebabkan ketirisan wang awam, salah guna kuasa dan menjejaskan imej negara.
 
"Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan supaya pelanggaran tatakelola baik yang pernah berlaku ke atas entiti-entiti berkepentingan kerajaan sebelum ini tidak berulang lagi," menurut kenyataan itu.
 
Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat hari ini juga telah mendengar pembentangan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung isu kematian dalam lokap dan langkah pencegahan yang dicadangkan.
 
Justeru, mesyuarat bersetuju supaya satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh EAIC bagi pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kajian Terhadap Kes Kematian Dalam Tahanan Dan Mengenal Pasti Cadangan Langkah Pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan.
 
"Ini termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dan infrastruktur untuk diteliti oleh entiti kawal selia masing-masing serta dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing bagi memastikan isu hak asasi manusia terpelihara selaras dengan prinsip tatakelola baik negara," katanya.
 
-- BERNAMA
 
 

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.