10 pegawai Imigresen disiasat kes skandal visa perubatan?

Kuala Lumpur: Seorang pegawai berpangkat penolong pengarah antara 10 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dipanggil Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung siasatan skandal visa perubatan.

Menurut laporan portal Malaysiakini, yang memetik sumber Imigresen, individu terbabit dikatakan bertugas sebagai penolong pengarah imigresen kanan dari Bahagian Keselamatan dan Pasport.

Kata sumber, 10 pegawai Imigresen termasuk penolong pengarah itu dipanggil untuk dirakam keterangan oleh EAIC berhubung siasatan kes itu.

“EAIC telah panggil mereka minggu ini. Semua hadir dan sudah memberi keterangan.

“EAIC juga serbu pejabat penolong pengarah imigresen kanan itu. Siasatan masih dijalankan,” kata sumber itu.

Porta berita itu juga dikatakan sudah menghubungi pihak Imigresen serta EAIC dan masih menunggu maklum balas berhubung perkara itu.

Terdahulu, EAIC dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu, memaklumkan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing beberapa negara.

Pada 8 Oktober lalu, EAIC menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket visa perubatan yang membabitkan pegawai Imigresen.

Media sebelum ini melaporkan sindiket terbabit yang didakwa sudah lama berleluasa memberi kelulusan visa perubatan kepada warga asing untuk masuk ke negara ini, kononnya atas tujuan mendapatkan khidmat perubatan.

 

Sumber : Harian Metro

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.