logo.png

 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib diambil terhadap beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Ibu Pejabat Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan susulan dapatan siasatan berhubung kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

EAIC dalam kenyataan media memaklumkan, siasatan dijalankan selaras dengan Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 selepas pihaknya menerima dua aduan berkaitan pengendalian kes berkenaan.

“Aduan itu merangkumi dakwaan kegagalan mengambil tindakan, penyalahgunaan kuasa, campur tangan pihak luar, hubungan dengan pihak berkepentingan serta pendedahan maklumat sulit yang melibatkan pegawai JAS di peringkat ibu pejabat dan negeri.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati aduan berkaitan kegagalan JAS Negeri Sembilan mengambil tindakan adalah tidak tepat, memandangkan pasukan siasatan jabatan itu telah melengkapkan siasatan sehingga membawa kepada pendakwaan terhadap pengarah syarikat yang terlibat dalam kes pembuangan bahan terjadual secara haram berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, EAIC turut mendapati seorang pegawai pengurusan tertinggi JAS Ibu Pejabat Putrajaya telah ingkar perintah apabila mempunyai hubungan dengan pihak berkepentingan sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan.

“Selain itu, pegawai-pegawai JAS Negeri Sembilan yang terlibat didapati tidak mematuhi arahan, tidak bertanggungjawab serta tidak amanah.

“Tindakan itu menyebabkan campur tangan pihak luar dalam operasi dan pentadbiran jabatan, termasuk pendedahan maklumat sulit,” katanya.

Tambahnya, siasatan juga mendapati terdapat pegawai yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dengan mengesyorkan pemilihan jururunding, selain kegagalan mematuhi keperluan pengisytiharan harta.

“Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan pihak berkuasa tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“EAIC juga mengesyorkan pertukaran pegawai JAS Ibu Pejabat Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan yang terlibat daripada perjawatan sedia ada sementara menunggu keputusan pihak berkuasa tatatertib, selain merujuk dapatan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelas kenyataan itu, EAIC turut mengesyorkan agar surat penghargaan diberikan kepada Pasukan Siasatan JAS Negeri Sembilan yang berjaya menyelesaikan siasatan kes tersebut dalam tempoh kurang lapan bulan walaupun berdepan campur tangan pihak berkepentingan.

“EAIC turut memaklumkan bahawa siasatan yang dijalankan oleh pasukan berkenaan telah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard serta garis panduan penyediaan kertas siasatan yang ditetapkan,” katanya.

SUMBER : Sinar Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.