ju.png

PUTRAJAYA: Pegawai Jabatan Perikanan (DOF) di ibu pejabat dan lima negeri yang terbabit dalam kelulusan 54 lesen perikanan kepada dua syarikat akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib jabatan berkenaan.

Selain ibu pejabat, pegawai terbabit bertugas di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan tidak memaklumkan berapa ramai pegawai yang terbabit dalam pemberian lesen berkenaan.

Menurut EAIC siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur dan dasar pelesenan jabatan dalam proses permohonan dan kelulusan bagi 54 vesel milik dua syarikat itu.

Ia menyebut, wujud juga unsur jenayah pemalsuan atau menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh disiasat di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan [Akta 574].

Siasatan bagi meneliti pematuhan prosedur dan dasar pelesenan Jabatan Perikanan dalam memberi kelulusan 54 lesen perikanan itu, dijalankan berdasarkan kepada seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

"Sehubungan itu, EAIC akan merujuk pegawai-pegawai terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF.

"Hasil siasatan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terlibat bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

"Syor hukuman ini dibuat susulan daripada kesalahan tatatertib yang dilakukan iaitu tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas," katanya.

EAIC berkata, Suruhanjaya itu juga akan merujuk siasatan yang dijalankan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kenyataan itu menyebut, ia selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700, dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut seksyen 471 Akta 574 atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek-suspek yang dikenalpasti.

Pada masa sama, EAIC turut mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus pelesenan kepada DOF.

"Ketua Pengarah Perikanan hendaklah mempertimbangkan pembatalan lesen vesel-vesel yang diperolehi melalui prosedur yang tidak teratur.

"DOF perlu menyediakan garis panduan khusus berkaitan kelulusan Ibu Pejabat DOF ke atas permohonan ubah suai vesel melebihi 20 peratus dan menambah baik sistem pengurusan fail di Pejabat Perikanan Daerah.

"Jabatan itu juga perlu menetapkan had bilangan lesen perikanan atau vesel yang boleh dikeluarkan kepada sesebuah syarikat selain menambah baik sistem E-Lesen," katanya.

SUMBER : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.