
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi Malaysia (heritage players) yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan petugas khas itu ditubuhkan selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).
Pasukan itu akan diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham, bersama ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr Yusof Ismail, dan Datuk Ong Lam Kiat, selain dibantu pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan hari ini, mesyuarat memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan,” menurut kenyataan itu.
EAIC turut memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan, memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam dan integriti negara di peringkat antarabangsa.
SUMBER : Buletin TV3