
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Kluang, Johor berhubung kes meluluskan pembaharuan pas seorang wanita warga asing.
EAIC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan pegawai terbabit yang didakwa meluluskan pembaharuan pas bagi isteri pengadu, seorang bukan warganegara tanpa pengetahuan dan kebenaran suaminya yang merupakan warganegara Malaysia.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan selaras dengan Subseksyen 27(4), Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Hasil siasatan mendapati pegawai imigresen yang bertugas di kaunter gagal mengesahkan kehadiran pasangan pemohon yang berwarganegara Malaysia.
“Sebaliknya, pegawai berkenaan telah membuat catatan minit yang tidak tepat berhubung kehadiran pasangan tersebut sehingga menyebabkan permohonan pas diluluskan tanpa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah EAIC, pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan itu kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].
Jelas kenyataan itu, tindakan tersebut diambil atas kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(j) peraturan sama.
SUMBER : Sinar Harian