kamera_badan.png

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen disyorkan supaya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi tatacara pemakaian dan penyimpanan rakaman kamera badan oleh pegawai serta anggotanya yang terbabit dalam operasi penguatkuasaan.

Syor itu disarankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) susulan siasatan dilakukan terhadap aduan dakwaan kekasaran oleh pegawai Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap seorang individu semasa operasi penguatkuasaan pada 25 Jun lalu.

EAIC memaklumkan hasil siasatan mendapati individu yang membuat aduan tidak dapat mengecam atau mengenal pasti mana-mana pegawai atau anggota yang didakwa mengasarinya, manakala rakaman kamera badan tidak dapat diperoleh kerana data rakaman hanya disimpan selama 30 hari.

Sehubungan itu, EAIC syor SOP khusus tatacara penggunaan kamera badan oleh Jabatan Imigresen penting untuk memastikan ketelusan pelaksanaan tugas dan mengelakkan sebarang tohmahan daripada orang awam pada masa hadapan.

"Pelaksanaan SOP ini adalah penting bagi memastikan integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan serta mempertingkatkan kepercayaan awam terhadap agensi," katanya melalui kenyataan hari ini.

Mengulas kes itu, EAIC berkata siasatan terhadap aduan diterima itu dilaksanakan mengikut peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Katanya, kertas siasatan polis yang dibuka berkaitan insiden ini diklasifikasikan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' atau 'No Further Action' (NFA) oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak dapat diperoleh kerana peralatan CCTV dicabut sejurus pihak berkuasa menyerbu masuk premis.

"Semua pegawai dan anggota Imigresen yang terbabit dalam operasi berkenaan memberikan keterangan menafikan sebarang kekasaran atau tindakan memukul individu terbabit," katanya.

SUMBER : Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.