
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) membuat laporan polis susulan penemuan unsur pemalsuan maklumat dalam beberapa permohonan berkaitan lesen vesel Zon B yang disyaki membabitkan pegawai agensi berkenaan.
Syor itu dibuat selepas EAIC mendapati wujud pemalsuan dokumen dalam permohonan pindah pangkalan, ubah suai, penggantian enjin dan pindah milik lesen sebuah vesel Zon B di bawah kelulusan DOF Daerah Pontian, sekali gus menunjukkan kemungkinan wujudnya perbuatan jenayah dan perbuatan bersubahat oleh pegawai terbabit.
Menurut EAIC, siasatan juga menunjukkan permohonan serta kelulusan berkenaan jelas melanggar dasar dan pekeliling sedia ada, selain membabitkan pegawai DOF Klang, iaitu pangkalan asal vesel terbabit.
“Beberapa pegawai DOF disyaki bersubahat menyokong permohonan berkenaan walaupun menyedari maklumat yang dikemukakan adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain syor membuat laporan polis, EAIC turut merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF agar tindakan diambil terhadap pegawai-pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Mengenai aduan membabitkan DOF Daerah Tanjong Sedili yang mana pegawainya mengarahkan pemasangan semula ‘tin-plate’ yang dibuka tanpa kebenaran selepas kerja pembaikan, siasatan EAIC mendapati tindakan pegawai DOF itu tidak dilakukan dengan niat jahat.
Katanya, Bahagian Kejuruteraan Ibu Pejabat DOF mengesahkan bahawa vesel Zon C yang terbabit, adalah vesel asal.
“Arahan pemasangan semula ‘tin-plate’ terbabit dikeluarkan oleh pegawai DOF berkaitan tanpa mengetahui wujudnya Pekeliling Penggantian Tin-Plate yang menetapkan proses permohonan dan kaedah penggantian Tin-Plate yang sudah dibuka, diubah, rosak atau diganggu, ” katanya.
SUMBER: Buletin TV3