aadk.png

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merujuk hasil siasatan pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pihak Berkuasa Tatatertib Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung kejadian pukul membabitkan seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang tahun lalu.

EAIC berkata ia mengambil kira hasil siasatan yang mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kejadian pukul berkenaan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan terjadi ke atas klien berkenaan.

Hasil siasatan juga, katanya mendapati wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN terhadap kejadian itu berikutan pemakluman berkenaan kecederaan oleh klien terbabit dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK.

"Justeru, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan pertama kepada AGC

"Tindakan itu selaras peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terbabit," katanya melalui kenyataan hari ini.

EIAC dalam pada itu mengesahkan pihaknya menerima aduan terhadap pegawai AADK berhubung kejadian pukul dan kecederaan dialami seorang klien ketika menjalani pemulihan di pusat berkenaan.

Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan aduan diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

EAIC berkata, pihaknya juga merujuk hasil siasatan kedua kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama.

"Selain itu, EAIC mengesyorkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan," katanya.

 

SUMBER: Berita Harian

Enforcement Agency Integrity Commission
Level 5, Menara Block
Menara Usahawan
No. 18 Persiaran Perdana, Precint 2
62652 Putrajaya, Malaysia

am GENERAL LINE+603-8880 5650

fax FAX+603-8880 5646

emel EMAIL This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.